SUKAN

Isu Teknikal Tidak Jejas Fokus Sarawak Sapu Empat Emas Taekwondo

18/08/2024 11:58 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Sarawak terus melebarkan sayap kegemilangan dalam sukan taekwondo selepas membolot empat daripada keseluruhan enam pingat emas yang dipertandingkan di Stadium Perpaduan di sini.

Memasuki hari ketiga acara itu, masalah teknikal kekal merencatkan perjalanan saingan selepas aksi pusingan awal ditunda kira-kira tiga jam, menyaksikan pertembungan final yang dijadualkan berlangsung pada petang tadi terpaksa dianjak ke sebelah malam.

Namun, situasi itu tidak mematahkan semangat kontinjen Bumi Kenyalang yang berjaya membuka tirai emas pasukan menerusi Pretty Amisha Amanda Francesca dalam acara lebih 73 kilogram (kg) wanita selepas menumbangkan wakil Selangor Nurul Aesyah Aqilah Mohd Sukeri 2-0.

Permulaan positif itu menggamatkan lagi sorakan penyokong tuan rumah yang menyemarakkan lagi semangat Puteri Durratun Zulaikha Samat untuk merangkul emas kategori bawah 73 kg wanita dengan menundukkan Fu Chervyn dari Terengganu 2-0.

Sarawak mengesahkan emas ke-10 dalam sukan taekwondo apabila Aj Ong Yang Yi yang turun dalam acara bawah 87kg lelaki menewaskan wakil Wilayah Persekutuan Nur Putra Adam Azlan Noor Azlan 2-0.

Melengkapkan pencapaian hebat Sarawak, Mohamad Zulhafiz Zulhadi yang menghadiahkan sebutir lagi emas selepas mengatasi pencabarnya Lim Jia Wei dari Wilayah Persekutuan dalam acara lebih 87kg lelaki 2-0.

Dalam pada itu, hasrat Sarawak untuk mencuri satu lagi emas acara bawah 67 kg wanita tidak kesampaian selepas Christine Li Ying Zhen tumpas 0-2 di tangan atlet Perlis Nadia Aina Syazwani Ishak.

Kejayaan Nadia Aina itu menambah kutipan emas taekwondo Perlis selepas berjaya merangkul dua emas dalam kategori poomsae.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan menyambar emas pertama dalam saingan sukan tempur itu menerusi Keng Xian Hong yang menundukkan Muhammad Adam Hafiz Azman dari Negeri Sembilan 2-0 dalam kategori bawah 80kg lelaki.

Berbaki dua hari sebelum melabuhkan tirai pada Selasa, Sarawak ketika ini mengungguli kutipan pingat sukan taekwondo selepas menyapu tujuh emas dalam kategori poomsae.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan