AM

Belasungkawa: Pemergian Rozaid Kehilangan Besar Buat Industri Media Malaysia

18/08/2024 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Khabar duka pemergian wartawan veteran Rozaid Abdul Rahman disifatkan sebagai kehilangan besar buat industri media tempatan.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) meninggal dunia petang tadi di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini, akibat masalah jantung.

Allahyarham berusia 59 tahun.

Beberapa menteri Kabinet dan rakan industri terkesan dengan pemergian bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu dan turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Rozaid adalah individu yang amat berdedikasi dan komited dalam melaksanakan setiap tugasnya selain keperibadian Allahyarham amat disenangi orang sekeliling.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Terlalu sedih menerima khabar pemergian Encik Rozaid Rahman sebentar tadi. Seorang yang ramah, suka membantu rakan-rakan dan sangat dihormati.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar buat industri media serta sememangnya dirasai dan ditangisi. Semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan kurniakan syurga buatnya. Tenanglah dikau di negeri abadi, al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta sahabat handai Allahyarham.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Allahyarham seorang tokoh yang mempunyai pengalaman hebat dalam bidang kewartawanan dan kemudiannya dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggalas peranan begitu mencabar.

“Berehatlah sahabat, moga segala amal baik dan sumbangan dalam berkhidmat untuk negara dikira sebagai pahala di sisi Allah SWT. Marilah sama-sama kita mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa dan ditempatkan di syurga bersama orang beriman serta beramal soleh, insya-Allah.

“Takziah buat keluarga Allahyarham, moga tabah menerima ujian ini. Al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Turut menitipkan ucapan takziah, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi catatan di akaun media sosial rasmi masing-masing.

Sementara itu, sahabat rapat Allahyarham yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai berkata pemergian Rozaid amat mengejutkan, malah kali terakhir beliau berhubung dengannya pada minggu lepas.

Mengimbas kenangan bersama Rozaid, Wong berkata beliau mengenali sosok yang disifatkannya sebagai sahabat baik itu sejak tahun 1990 ketika sama-sama bertugas sebagai wartawan.

“Dukacita saya telah menerima berita pemergian beliau. Kami baru sahaja saling berbalas mesej pada minggu lepas. Saya sudah mengenalinya sejak awal 1990-an dan pernah bersama-sama membuat liputan di luar negara.

“Kami berdua dari Pulau Pinang dan banyak berkongsi minat yang sama. Beliau rakan yang sangat baik dan kali terakhir kami makan malam bersama adalah untuk meraikan ulang tahun kelahiran saya dan isteri saya pada Jun,” katanya kepada Bernama.

Wong berkata Rozaid telah melaporkan pelbagai berita eksklusif termasuk pendedahan mengenai terowong rahsia yang dibina oleh Parti Komunis Malaya (PKM) di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand pada 1989.

Beliau berkata Rozaid sangat mahir dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sekali gus  membolehkannya berkhidmat di beberapa akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Sinar Harian dan The Star.

“Sebagai pengarah komunikasi strategik di PMO, beliau banyak membantu pihak media dan sudah pasti ia satu kehilangan kepada PM (perdana menteri),” katanya. 

Wartawan veteran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Mustapa Omar berkata Allahyarham seorang wartawan serba boleh, malah menjadi antara rujukan dalam menulis berita dalam kalangan rakan-rakan media pada era 80-an.

Beliau berkata Rozaid tokoh wartawan berpengalaman luas selain seorang yang berani dalam mendapatkan maklumat serta sentiasa menghasilkan penulisan berita yang amat berkesan.

Selain itu, Mustapa berkata Allahyarham juga seorang individu yang mempunyai sifat kepimpinan tinggi dan melaksanakan setiap amanah serta tugas dengan cemerlang dan bersungguh-sungguh.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah sebelum beliau dimasukkan ke hospital. Arwah ini kalau hal bekerja akan sentiasa deliver, cekap dan seorang yang amat merendah diri walaupun punyai pengalaman luas,” katanya.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Wartawan veteran itu juga pernah menyandang jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.

Allahyarham kemudian berkhidmat di Sinar Harian pada 4 Jan 2021 sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan pada 30 Dis 2022.

Rozaid dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan