POLITIK

Zahid Harap BN Pertahan Kerusi DUN Mahkota

19/08/2024 04:27 PM

BAGAN DATUK, 19 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap parti itu akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 28 Sept.

Presiden UMNO berkata pengharapan itu berdasarkan momentum kemenangan BN pada PRK DUN Nenggiri Sabtu.

“Di Mahkota (kerusi DUN Mahkota) kita (BN) menang 5,200 majoriti. Di Nenggiri kita kalah dulu 810 undi, kita berusaha dan berdoa kepada Allah agar kawasan itu (Mahkota) dapat kita dakapi,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan (PPK) RPT Simpang Tiga, Bagan Datuk, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata angin perubahan telah berlaku di Kelantan, berikutan keputusan PRK Nenggiri yang dirampas semula oleh BN pada PRK itu.

Beliau berkata beliau merasakan bahawa satu angin perubahan telah berlaku di Kelantan dan jika sebelum ini ada yang pihak luar mengatakan bahawa UMNO tidak lagi relevan, keputusan di Nenggiri telah memperlihatkan yang sebaliknya.

“Kerana kita ketahui bahawa Kelantan adalah negeri yang dikuasai berdekad-dekad, sekurang-kurangnya tiga dekad oleh sebuah parti yang menjanjikan syurga tetapi masalah-masalah asas tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kemenangan di Nenggiri bukan sekadar menebus maruah UMNO di Gua Musang, tetapi mahu menghantar mesej isu-isu yang selama ini dilemparkan kepada BN dan UMNO tetapi jika dijelaskan, maka rakyat yang rasional dapat menerimanya.

Mengulas mengenai adakah BN akan melibatkan jentera Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN Mahkota, beliau berkata keterlibatan PH sangat penting kerana komposisi dan demografi pengundi di DUN Mahkota berbeza dengan Nenggiri.

“Apatah lagi kita lihat jumlah pengundi di DUN Mahkota tiga kali ganda daripada DUN Nenggiri.

“Jadi semua pihak rakan-rakan parti dalam kerajaan perpaduan wajib dilibatkan,” katanya. 

Ditanya adakah dengan kemenangan di Nenggiri sebagai tanda menunjukkan BN boleh bergerak sebagai parti tunggal, Ahmad Zahid berkata BN mengakui hakikat mereka memerlukan rakan-rakan kongsi politik yang baik seperti PH.

“... dan kita (BN) akan tentunya menjalin kerjasama sama walaupun kita (bertanding) guna lambang kita.

“Kesefahaman ini mesti diwujudkan supaya jumlah undi yang kita peroleh itu disebabkan kolaborasi bantu membantu untuk kemenangan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan