EKONOMI

Malaysia Manfaat AI, Kenal Pasti Transaksi Wang Dicurigai Melalui NFP - Gabenor BNM

20/08/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dilancarkan hari ini sedang ditambah baik bagi membolehkan kecerdasan buatan (AI) dapat digunakan bagi mengenal pasti transaksi mencurigakan melalui analisis ramalan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata antara ciri utama NFP adalah reka bentuk modular yang membolehkan penambahbaikan berterusan dilaksanakan pada masa hadapan terhadap infrastruktur asas yang sedia ada. 

Menurutnya, walaupun data menunjukkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa penipuan kewangan secara keseluruhannya agak kecil berbanding jumlah transaksi kewangan domestik, Malaysia perlu lebih peka mengenal pasti dan mengatasi ancaman ini.

Abdul Rasheed berkata langkah ini bagi memastikan keyakinan terhadap sistem kewangan negara sentiasa terpelihara memandangkan penjenayah siber akan terus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka.

“Perjalanan kita untuk memerangi penipuan masih panjang dan berliku. Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, saya ingin menegaskan mengenai tiga tema utama ke arah usaha kita untuk memerangi penipuan kewangan,” katanya dalam ucaptama semasa pelancaran NFP di sini hari ini.

Menurutnya, pertama, negara harus mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan keupayaan memandangkan taktik penipuan kewangan akan terus berkembang.

“Sehubungan itu,  keupayaan dan kaedah kita untuk membanterasnya perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, kedua, tindakan bersepadu perlu terus diterapkan dalam usaha yang dilaksanakan memandangkan membanteras penipuan kewangan memerlukan pendekatan seluruh negara serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

“Dalam hal ini, saya ingin berkongsi maklum balas positif yang diterima untuk NFP, dengan 16 institusi kewangan telah menyertai portal ini dan banyak lagi institusi akan menyusul dalam masa terdekat,” katanya. 

Sehubungan itu, Abdul Rasheed berkata BNM dan industri kewangan mengalu-alukan penglibatan baharu dan meluaskan penglibatan sedia ada daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam ekosistem digital yang lebih umum untuk mengukuhkan lagi tindak balas bersepadu.

Menurutnya, ketiga, usaha gigih perlu diteruskan untuk memperkasa pengguna supaya lebih berwaspada bagi membanteras penipuan kewangan.

“Orang ramai merupakan benteng pertahanan pertama bagi mencegah penipuan kewangan. Sama penting di sini adalah usaha industri kewangan untuk menangani akaun keldai dan mendidik orang ramai agar tidak terjebak menjadi mangsa akaun keldai,” katanya.

Katanya bagi menyokong usaha ini, baru-baru ini protokol pengendalian akaun keldai peringkat industri telah dikeluarkan untuk mempertingkatkan keupayaan industri bagi mengesan akaun keldai.

“Di samping itu, penambahbaikan NFP sedang dirancang bagi membolehkan pengguna melaporkan transaksi mencurigakan secara terus daripada akaun perbankan dalam talian atau akaun perbankan mudah alih mereka,” katanya.

Pelancaran NFP meningkatkan kemampuan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang ditubuhkan pada 2022, dengan mengautomasikan keupayaan pusat berkenaan untuk mengesan dana yang dicuri merentas pelbagai institusi kewangan (FI) dan sistem pembayaran. 

Aduan pantas pengguna menerusi talian NSRC 997 dan tindak balas FI dapat menghalang dana yang dicuri daripada dikeluarkan daripada sistem kewangan, justeru meningkatkan kemungkinan pemulangan.

Abdul Rasheed berkata negara telah beroleh manfaat ketara hasil daripada penubuhan NSRC.

Setakat Jun 2024, NSRC telah membuka lebih 12,000 kertas siasatan dan membekukan RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti melalui perintah penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan