EKONOMI

OCBC Semak Semula Unjuran Kdnk Malaysia 2024 Lebih Tinggi Kepada 5.0 Peratus

19/08/2024 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia lebih tinggi kepada 5.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y) daripada 4.2 peratus sebelum ini selepas negara mencatat pertumbuhan KDNK yang kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024.

Dalam nota Penyelidikan Pasaran Global yang diterbitkan hari ini, ahli akonomi kanan Asean bagi kumpulan perbankan itu Lavanya Venkateswaran mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia kekal kukuh pada separuh kedua 2024 dengan purata 4.9 peratus tahun ke tahun berbanding 5.1 peratus pada separuh pertama 2024.

“Ini disokong oleh pemulihan dalam kitaran elektronik global, pelaburan lebih tinggi khususnya yang menekankan kepada kemajuan dalam rancangan pembangunan ekonomi jangka sederhana kerajaan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.

"Keadaan ini membolehkan ia berada di had atas julat sasaran pertumbuhan KDNK rasmi sebanyak 4.0-5.0 peratus untuk 2024. Bagi 2025, kami terus menjangkakan ekonomi berkembang sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun," katanya.

Sementara itu bagi 2024, Lavanya berkata lebihan akaun semasa Malaysia dijangka melebar kepada 2.5 peratus daripada KDNK berbanding 1.5 peratus pada 2023.

Pada 16 Ogos, dilaporkan ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, aktiviti pelaburan yang rancak dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong yang melebihi unjuran awal pada 5.8 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat itu melihat pertumbuhan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mengakhiri tahun dengan menghampiri had atas julat unjuran 4.0-5.0 peratus.

"Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024 adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022," katanya.

Menurut Lavanya, prospek pertumbuhan yang kukuh dan tekanan inflasi yang terkawal, walaupun meningkat pada separuh kedua 2024, akan memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan kadar dasar sepanjang tahun ini.

"Selain itu, langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa sejak akhir Februari telah membuahkan hasil dan ringgit mengatasi mata wang serantau yang lain.

"BNM juga menyatakan purata volum dagangan harian bagi pertukaran asing adalah lebih tinggi (US$18 bilion) berbanding sebelum langkah-langkah tersebut diambil (2 Jan - 23 Feb 2024: US$15 bilion)," tambahnya (US$1 = RM4.43).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan