AM

Bernama Terima Anugerah Agensi Penyiaran Berita Paling Popular Di Universiti Awam

20/08/2024 01:49 PM

GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kepimpinan Perdana Universiti Awam Malaysia – Agensi Penyiaran Berita (Badan Berkanun) Paling Popular di Universiti Awam (UA) hari ini.

Anugerah berkenaan diberikan berdasarkan tinjauan, rekod, maklum balas dan sumbangan besar kepada universiti awam di negara ini, pada Majlis Anugerah Gemilang Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) 2024 (MAGMA 24) di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menyampaikan anugerah itu kepada Ketua Biro Bernama Pulau Pinang R. Ratcharathan yang mewakili Bernama.

MAGMA 24 yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Pentadbir Peringkat Kebangsaan dan Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2024 juga menyaksikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menerima Anugerah Agensi Penyiaran Berita (Agensi Kerajaan) Paling Popular di UA.

RTM diwakili Pengarah Penyiaran Pulau Pinang Nor Hisham Abbas.

MAGMA bertujuan berkongsi pengalaman atau amalan terbaik dan memberi pengiktirafan kepada pentadbir universiti awam cemerlang, tokoh negara terbilang dan organisasi unggul yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada kesohoran universiti awam serta perkhidmatan awam.

Sementara itu, Mustapha yang ditemui pemberita berkata anugerah ini merupakan satu pengiktirafan daripada Universiti Awam kepada pihak-pihak berkenaan termasuk Bernama.

Beliau berkata kedua-dua agensi penyiaraan itu banyak membantu secara langsung dan tidak langsung kepada Universiti Awam, antara lain sebagai rujukan para pelajar serta tenaga pengajar dan komuniti universiti secara keseluruhannya.

"Selain itu, sumbangan yang dimainkan oleh MASTI dan semua persatuan pentadbir di Universiti Awam amat relevan ke arah membangunkan modal insan seimbang yang mempunyai tahap keintelektualan tinggi dan bersifat manusiawi.

"Dalam konteks wawasan negara, hadirnya gagasan Malaysia MADANI menuntut kita semua termasuklah pentadbir universiti agar dapat mencorak masa hadapan dengan segala potensi yang ada mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan seterusnya mengemudi Malaysia ke arah yang lebih baik," katanya.

Pada majlis itu, turut berlangsung Anugerah Pentadbir Gemilang Universiti Awam Malaysia 2024 melibatkan 15 kategori, pelancaran Buku MASTI: Keterampilan Bakat & Citra Persatuan Pentadbir Universiti Awam, Pelancaran Buku IT Lead, Ketahanan Digital: Mengemudi Transformasi Dalam Persekitaran Dinamik dan pelancaran Aplikasi Mudah Alih MASTI.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat dan Presiden MASTI Wan Mohd Wazir Wan Abdul Wahab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan