AM

Akta Sedia Ada Mencukupi Untuk Tangani Kegiatan "Ulat Arkitek"

20/08/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Akta Arkitek 1967 (Akta 117) sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu kegiatan “ulat arkitek” yang menawarkan khidmat seni bina dan reka bentuk dalaman tidak berdaftar di negara ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata di bawah akta itu, pelbagai peraturan boleh digunakan untuk membendung kegiatan tersebut yang berlaku berleluasa ketika ini.

“Selain itu, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)1994 (Akta 520) juga boleh digunakan kerana CIDB adalah agensi yang mengawal selia kontraktor yang terlibat (dalam projek seni bina dan reka bentuk dalaman).

“Jadi semua peraturan dalam kedua-dua akta ini boleh digunakan tetapi kita juga tahu masalah ini berlaku berleluasa kerana mereka yang menggunakan khidmat tidak sah selalunya terpedaya dengan tawaran harga murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Majlis  Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat KKR 2024 di sini hari ini.

Nanta menasihatkan mereka yang mahu membina atau mengubah suai kediaman agar mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kontraktor yang “murah” kerana akhirnya mengakibatkan kerja-kerja dipersetujui tidak disempurnakan dengan baik atau terbengkalai.

Minggu lepas, Bernama melaporkan kewujudan kegiatan ulat arkitek yang menjadi dalang terhadap isu projek rumah terbengkalai hingga menyebabkan banyak mangsa yang tidak mempunyai pengetahuan dalam proses dan prosedur pembinaan rumah, kerugian besar.

Sementara itu, Nanta berkata setakat 31 Julai lepas hanya 3.93 peratus atau 31 daripada 788 keseluruhan projek yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai ‘sakit’. 

“Projek ini sedang dalam pemerhatian dan punca kelewatan juga bukan masalah baru kerana terkait dengan pelbagai isu antaranya pengambilan tanah, tetapi ada prosedur operasi standard (SOP) untuk menanganinya,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan