AM

Malaysia-Turkiye Perkukuh Lagi Kerjasama Bidang Pertahanan - Mohamed Khaled

20/08/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye bersedia mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pertahanan melibatkan aset-aset ketenteraan dan latihan pada masa hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Beliau berkata kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara perlu diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi melibatkan perjanjian dalam pelbagai bidang ketenteraan.

“Adalah penting untuk kita ada kerjasama, mengatur pelbagai program dan usaha yang boleh dikongsikan agar dapat memantapkan lagi pertahanan negara masing-masing.

“Dalam konteks ini, kita sedang berusaha mengadakan dan menyediakan perjanjian untuk dimeterai kedua-dua negara bagi membolehkan hasrat ini tercapai,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat delegasi Turkiye di Kementerian Pertahanan di sini.

Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler mengetuai delegasi 17 orang sebagai lawatan balas terhadap kunjungan rasmi pertama Mohamed Khaled ke Ankara, Turkiye pada 11 Jun lepas. 

Dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin berbincang tentang kerjasama pertahanan yang produktif, selain mengesahkan komitmen terhadap kerjasama ketenteraan merangkumi bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

Kedua-dua negara katanya, bakal meneroka peluang baharu untuk bekerjasama dalam perkara membabitkan kebolehoperasian dan kesediaan kedua-dua angkatan tentera dalam semua “domain”, iaitu darat, laut, udara, siber,  Al (kecerdasan buatan) dan perkongsian risikan.

Mohamed Khaled berkata dengan kerjasama lebih mendalam, Malaysia akan memahami tentang aset, latihan dan pengalaman Turkiye, memandangkan negara itu adalah antara pengeluar terbesar aset ketenteraan di dunia.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengetahui dan mempelajari apa sahaja berkenaan sesuatu peralatan ketenteraan yang dikeluarkan oleh negara itu.

Dari sudut pertahanan katanya, Malaysia dan Turkiye bukan hanya sekadar pembeli dan pelanggan, tetapi juga mahu diangkat sebagai rakan, yang menjelaskan kesanggupan Ankara untuk berkongsi pelbagai aspek membabitkan bidang pertahanan.

Mohamed Khaled berkata selain itu, Menteri Pertahanan Turkiye juga ada mengemukakan permohonan supaya negara terbabit diterima sebagai rakan dialog pada peringkat ASEAN.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan