DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Akhiri Kenaikan 7 Hari Berturut-turut

20/08/2024 07:06 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini mengakhiri kenaikan tujuh hari berturut-turut berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham utiliti, tenaga dan teknologi, kata seorang penganalisis. 

Pada sesi penutup FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) turun 5.93 mata atau 0.36 peratus  kepada 1,642.77 daripada paras penutup 1,648.70 pada Isnin. 

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 0.86 mata kepada 1,649.56 dan kemudiannya mencecah paras intra hari tertinggi pada 1,660.29, paras yang kali terakhir direkodkan pada pertengahan Disember 2020.

Namun selepas itu indeks tersebut mula menyusut dan turun ke paras terendah 1,637.45 pada sesi tengah hari.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak  857 berbanding 357, dengan 433 kaunter tidak berubah, 833 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.19 bilion unit bernilai RM4.55 bilion daripada 3.89 bilion unit bernilai RM4.30 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di Asia, beberapa bursa mencatatkan aktiviti pengambilan untung, bagaimanapun kebanyakan pasaran serantau meneruskan trajektori meningkat mereka. 

“Prestasi itu disokong oleh aliran masuk berterusan belian asing di tengah-tengah pengukuhan mata wang Asia berbanding dolar AS. 

“Ekuiti Malaysia ditutup kebanyakannya rendah berikutan pengambilan untung dalam saham utiliti, tenaga dan teknologi yang menyeret turun FBM KLCI,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata aktiviti pengambilan untung hari ini memberi peluang bagi pengumpulan saham pada harga rendah terutamanya saham mewah yang memboleh pasaran mencerna kenaikan baru-baru ini yang seterusnya menyediakan asas kukuh untuk terus mencatatkan peningkatan lebih tinggi. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik 13.0 sen kepada RM4.67, Tenaga Nasional meningkat 10.0 sen kepada RM14.00 dan IHH Healthcare menokok 5.0 sen kepada RM6.32 manakala CIMB Group susut 12.0 sen kepada RM7.85 dan Maybank kekal tidak berubah pada RM10.60.

Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove meningkat 1.0 sen kepada RM1.00, Cape EMS turun 2.0 sen kepada 40 sen, My E.G. Services jatuh 2.5 sen kepada 90.5 sen, YTL Power berkurangan 34.0 sen kepada RM3.86 dan Velocity Capital tidak berubah pada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 50.06 mata kepada 12,429.77, Indeks FBM 70 susut 44.57 mata kepada 17,912.64, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 55.29 mata kepada 12,359.18 dan Indeks FBM ACE jatuh 71.56 mata kepada 5,329.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.31 mata kepada 181.60, Indeks Tenaga susut 14.90 mata kepada 934.55, Indeks Perladangan jatuh 8.43 mata kepada 7,146.15, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 89.61 mata kepada 19,197.15.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.38 bilion unit bernilai RM4.24 bilion daripada 2.32 bilion unit bernilai RM4.01 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.37 bilion unit bernilai RM163.68 juta daripada 1.08 bilion unit bernilai RM124.32 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurang kepada 437.47 juta saham bernilai RM139.41 juta daripada 492.48 juta saham bernilai RM159.98 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 277.71 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (537.61 juta), pembinaan (169.80 juta), teknologi (251.12 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (286.93 juta), hartanah (269.06 juta), perladangan (16.92 juta), REITs (13.39 juta), dana tertutup (16,800), tenaga (157.17 juta), penjagaan kesihatan (118.87 juta), telekomunikasi dan media (76.99 juta), pengangkutan dan logistik (78.43 juta), utiliti (124.18 juta) dan amanah perniagaan (2.79 juta).

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan