AM

Penjawat Awam Bimbang Kenaikan Gaji Diikuti Kenaikan Harga Barang

22/08/2024 11:17 AM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Di sebalik penjawat awam yang sudah tidak sabar lagi menikmati ‘gaji baharu’ fasa pertama pada Disember ini susulan pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, namun ada juga ‘kebimbangan’ dalam kalangan mereka. 

Mengaitkannya dengan situasi kenaikan harga barangan sebelum ini oleh peniaga sebaik adanya pengumuman peningkatan gaji mahupun pemberian bonus, kebanyakannya berangapan keadaan yang sama juga akan berlaku lagi pada Disember kelak. 

Oleh itu, kebanyakan penjawat awam mendesak agar kementerian berkaitan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dalam menangani isu kenaikan harga barang yang sering berlaku, bagi memastikan hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan kesejahteraan penjawat awam dapat direalisasikan."

“Kenaikan gaji tidak bermakna sekiranya harga barang dan perkhidmatan tidak dikawal dengan berkesan oleh pihak berkaitan, seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

"Saya harap pasukan pegawai penguat kuasa dari KPDN terutamanya dapat meningkatkan pemantauan di lapangan bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga tanpa sebab yang munasabah,” kata Sobri Mohd Akhir, 52, kepada Bernama.

Sobri yang merupakan kakitangan di sebuah daripada universiti tempatan, berkata keputusan menaikkan gaji penjawat awam amat baik dan membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap nasib dan kebajikan kakitangan awam dalam mengimbangi keperluan semasa yang semakin meningkat.

Berkongsi pandangan sama, S. Rudra, 34, berkata pelarasan gaji itu dilihat signifikan ketika ini, lebih-lebih lagi dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin terasa.  

"Gaji saya kini dalam lingkungan RM3,500, mungkin dianggap mewah jika tinggal di luar bandar, tetapi dengan pendapatan isi rumah yang tidak mencecah RM5,500 memang agak tertekan hidup di bandar.  

"Ia ditambah dengan keperluan dua anak, serba-serbi meningkat perbelanjaan tidak kisah aspek pendidikan atau bayaran pengasuh," katanya.

Bagi Abdul Halim Abdul Rahman, 40, beliau berkata pelarasan gaji itu dapat membantu meringankan beban kewangannya dalam membesarkan anak-anak seramai lima orang yang berusia lingkungan setahun hingga 15 tahun.

"Sebagai pembantu operasi, gaji saya hanya sekitar RM2,000 lebih.  Dengan kenaikan gaji, ia dapat meringankan beban saya yang boleh dikategorikan miskin bandar. Namun saya bimbang jika ada peniaga ambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

“Bagi saya, orang awam dan pegawai penguat kuasa KPDN perlu bekerjasama. Wujudkan sistem yang mudah untuk orang awam laporkan kenaikan harga barangan supaya mereka tidak tularkan di media sosial tetapi langkah penguatkuasaan perlulah efektif dan cepat,” katanya.

Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi di bawah SSPA.

Pelarasan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu yang pertama bermula 1 Dis ini manakala fasa kedua bermula 1 Jan 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan