EKONOMI

PM Anwar Tingkatkan Hubungan Dengan India Kepada CSP, Raih Komitmen Pelaburan RM4.5 Bilion

22/08/2024 01:40 PM

Daripada V. Sankara

NEW DELHI, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke India semalam dengan pencapaian penting dalam hubungan dua hala termasuk meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), komitmen pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dan beberapa perjanjian utama.

Dalam lawatan itu, Anwar dan rakan sejawat, Narendra Modi bersetuju untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada CSP, dengan status yang telah ditingkatkan itu mencerminkan komitmen yang lebih baik terhadap kerjasama dalam pelbagai sektor.

Anwar, dalam sidang media di sini sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, berkata lawatan beliau ke India berjaya meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion.

Ini selain komitmen pelaburan bernilai RM4.5 bilion daripada pelbagai sektor dan syarikat di negara Asia Selatan itu, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan. 

Perdagangan antara Malaysia dan India mencecah RM72.31 bilion pada 2023, mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh. 

Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian lapan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan India serta tujuh perjanjian perniagaan kepada perniagaan.

MoU itu meliputi perdagangan, teknologi digital, budaya dan pelancongan, menekankan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya mereka.

Dalam persediaan Malaysia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Anwar menekankan kepentingan bekerjasama erat dengan India dan rakan dialog lain untuk memacu integrasi serantau dan pembangunan mampan.

Beliau menjangka India, sebagai rakan dialog utama ASEAN, akan memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kerjasama keselamatan dan pertukaran budaya.

Anwar turut menyokong pertukaran perdagangan Malaysia-India yang meningkat menggunakan mata wang negara untuk mengukuhkan hubungan kewangan.

Beliau telah menjemput Presiden India Droupadi Murmu dan Modi untuk melawat Malaysia bagi meningkatkan momentum hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Mengenai permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS, Anwar berkata Modi bersetuju untuk menyokong keputusan negara menyertai kumpulan tersebut, mengukuhkan kerjasama yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Malaysia ke India sejak 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan