EKONOMI

Megah Port Management Labuan Bekerjasama Dengan Kerajaan Tingkat Kecekapan

22/08/2024 09:08 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 22 Ogos (Bernama) -- Pengendali pelabuhan kontena Labuan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) sedang mempergiatkan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk mengukuhkan operasi dan kecekapan pengendalian kargonya.

Dalam langkah memupuk hubungan yang lebih erat, pengurusan tertinggi MPM telah memulakan beberapa siri penglibatan melalui kunjungan hormat dengan pihak berkepentingan utama kerajaan. 

Ketua Pegawai Operasi Datuk Seri Patrick Tiong memberitahu Bernama, inisiatif ini merupakan langkah penting dalam mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19, yang telah menjejaskan operasi pengendalian kargo pelabuhan itu antara 2020 sehingga 2022.

Inisiatif tersebut, menandakan fasa penting dalam usaha pemulihan pasca-pandemi MPM, bertujuan untuk meningkatkan daya tahan operasi selain memastikan pertumbuhan berterusan dan sumbangan pelabuhan kepada ekonomi di rantau berkenaan.

“Operasi pengendalian kargo mula meningkat, dan oleh itu, sudah tiba masanya untuk MPM melibatkan diri secara lebih rapat dengan agensi kerajaan termasuk pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya lagi.

“Dengan menjalin kerjasama yang kukuh dengan agensi-agensi ini, isu berkaitan keselamatan, operasi pelabuhan dan pengurusan boleh diselesaikan dengan berkesan,” kata Tiong.

Pengurusan tertinggi MPM telah membuat kunjungan hormat ke Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kesihatan, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan lain .

Lawatan yang sama turut akan dibuat ke atas Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tiong menekankan bahawa dengan operasi pengendalian kargo beransur pulih, pendekatan proaktif MPM ditetapkan bagi meletakkan pelabuhan sebagai pemain utama dalam rangkaian logistik serta rantaian bekalan pulau itu termasuk menawarkan perkhidmatan kepada pengguna dan peneraju industri dalam sektor minyak dan gas.

“Hubungan yang diperkukuh dengan agensi kerajaan dilihat penting untuk menyokong kejayaan jangka panjang dan sumbangan pelabuhan kepada ekonomi serantau,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan