AM

PNB Anugerah Biasiswa Bernilai Lebih RM400 Juta Kepada Pelajar Cemerlang

22/08/2024 07:36 PM

SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menganugerahkan biasiswa bernilai RM430.1 juta kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi setakat ini.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata penekanan dalam aspek pendidikan itu merupakan antara perkara yang diusahakan pihaknya bagi mengimbangi keuntungan dengan pelaburan sosial. 

“Di PNB, kami memastikan pulangan mampan bagi pemegang unit sambil menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini hari ini.

Majlis perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Raja Arshad berkata selain pendidikan, PNB turut menjalin kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk pembangunan komuniti bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.  

“Sepanjang tahun lalu, PNB telah menyumbang RM6 juta dengan 95 peratus diperuntukkan untuk pembangunan komuniti dan selebihnya untuk pembangunan pendidikan. 

“Antaranya sumbangan bernilai RM5 juta kepada lebih 18,500 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada November 2022 dan berterusan hingga Mac tahun lalu,” katanya.

Raja Arshad berkata sejak PNB ditubuhkan pada Mac 1978, sebanyak RM249.2 bilion agihan pendapatan direkodkan institusi kewangan itu.

Beliau berkata PNB telah menganjurkan MSAM sejak tahun 2000 untuk berkongsi ilmu perancangan kewangan dan pelaburan demi meningkatkan tahap ekonomi rakyat dan sehingga kini program itu telah memanfaatkan lebih 4.3 juta rakyat Malaysia.

MSAM 2024 berlangsung selama empat hari di SCCC Setia Alam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan