AM

Banci Pertanian Diteruskan Sehingga 10 Oktober - DOSM

23/08/2024 04:03 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang telah bermula sejak 7 Julai lepas akan diteruskan sehingga 10 Oktober depan bagi memberikan gambaran terkini keadaan sektor pertanian Malaysia secara menyeluruh.

Pesuruhjaya Banci Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata hasil bancian dapat dijadikan sebagai titik rujukan dalam penggubalan dasar yang lebih strategik dalam sektor pertanian negara.

“Setakat hari ini, secara keseluruhan kemajuan kerja luar operasi pembancian ialah 623,338 pegangan pertanian, meliputi 614,066 tempat kediaman dan 9,272 pertubuhan perniagaan telah dilawati.

"Daripada 623,338 pegangan pertanian itu, analisis di peringkat negeri menunjukkan tiga negeri merekodkan jumlah kes dilawati tertinggi iaitu Sabah (134,742) diikuti Johor (103,976) dan Sarawak (66,196)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 1.12 juta tempat kediaman dan 20,000 pertubuhan akan diliputi sepanjang tiga bulan bancian dijalankan.

Aktiviti bancian itu akan melibatkan seramai kira-kira 5,000 pembanci dan penyelia kerja luar dan dianggarkan seorang pembanci boleh melengkapkan tiga hingga empat maklumat soal selidik sehari, tambah beliau.

"Berbaki kurang dua bulan dari tarikh akhir banci, kerja-kerja memproses borang dan tangkapan data akan melibatkan kira-kira 1,700 pembanci dan penyelia pemprosesan di seluruh negara," katanya.

Bagi memastikan keberkesanan data bakal dihasilkan, Mohd Uzir meminta kesemua pengusaha pertanian yang terlibat dalam aktiviti pertanian sama ada peringkat huluan dan hiliran memberikan maklumat secara jujur dan tepat kepada pembanci.

"Saya merayu kepada isi rumah pengusaha pertanian dan pertubuhan perniagaan dari semua peringkat untuk memberikan maklumat yang tepat dan lengkap mengenai soal selidik," kata beliau.

Responden yang disasarkan dalam Banci Pertanian 2024 terdiri daripada individu seperti petani, nelayan, dan penternak.

Selain itu, banci itu juga menyasarkan pertubuhan perniagaan seperti ladang dan aktiviti pertanian yang dijalankan oleh institusi seperti koperasi dan penjara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan