DUNIA

UNICEF Beri Amaran Lonjakan Kes Mpox Dalam Kalangan Kanak-kanak Di Afrika

23/08/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Tabung kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa kanak-kanak dan komuniti rentan paling terjejas akibat penularan wabak mpox yang semakin meningkat di Afrika, selepas lebih 200 kes dikesan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, dan Afrika Selatan.

Pengarah Wilayah UNICEF untuk Timur dan Selatan Afrika, Etleva Kadilli berkata varian baharu mpox (clade Ib) dikenal pasti di semua negara yang terjejas kecuali Afrika Selatan.

Varian ini menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi untuk merebak merentasi pelbagai lapisan, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

"Varian baharu mpox menjadi ancaman serius kepada kanak-kanak dan keluarga.

"Selain daripada tindak balas kecemasan untuk menyelamatkan nyawa, usaha komunikasi risiko dan kerjasama rentas sempadan, pelaburan dalam Pengukuhan Sistem Kesihatan secara menyeluruh, kesinambungan perkhidmatan penting dan tumpuan khusus pada program yang menyokong kesejahteraan kanak-kanak secara keseluruhan mesti diutamakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Burundi melaporkan bilangan jangkitan tertinggi di rantau ini dengan 170 kes, manakala 45.3 peratus daripada kes melibatkan wanita, kata  Kadilli.

"Kanak-kanak dan remaja di bawah umur 20 tahun menyumbang hampir 60 peratus kes, dengan kanak-kanak di bawah lima tahun merangkumi 21 peratus," katanya.

Beliau berkata risiko terhadap kanak-kanak di Burundi meningkat disebabkan kejadian serentak wabak campak, berpunca daripada kadar imunisasi yang rendah dan kadar kekurangan zat makanan yang tinggi.

"Meskipun tindak balas dijalankan, negara itu terus menghadapi pelbagai cabaran termasuk kekurangan kit ujian diagnostik dan ubat-ubatan, kesedaran masyarakat yang rendah, kos operasi yang tinggi dan risiko gangguan terhadap kesinambungan perkhidmatan kesihatan penting," katanya.

UNICEF kini memohon dana kecemasan sebanyak US$16.5 juta bagi meningkatkan respons dan kesiapsiagaan di seluruh rantau ini.

"Keperluan pembiayaan akan disemak secara berkala mengikut perkembangan situasi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan