SUKAN

Muhammad Izzan Menang Emas Angkat Berat, Pecah Rekod Kebangsaan Clean & Jerk

23/08/2024 04:23 PM

BETONG, 23 Ogos (Bernama) -- Selain memenangi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, badang Terengganu Muhammad Izzan Ismadi melakar sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan kategori 96 kilogram (kg) dalam clean and jerk.

Pada aksi yang berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, atlet berusia 21 tahun itu mengangkat bebanan 173kg untuk memadamkan rekod lama 170kg dipegang rakan senegeri, Muhammad Syahir Tera pada 2023.

Muhammad Izzan melakukan angkatan 140kg dalam snatch menjadikan jumlah keseluruhan 313kg.

“Saya bekerja keras dan bangga kerana apa yang saya impikan tercapai. Saya memang menyasarkan untuk memecahkan rekod hari ini,” katanya ketika pemberita hari ini.

Beliau turut mendedikasikan pingat dimenanginya kepada merela yang telah banyak memberi sokongan.

Pingat perak dimenangi Abdila Iyad Abdul Jalil dari Wilayah Persekutuan yang melakukan angkatan keseluruhan 309kg manakala atlet Sabah, Muhammad Alianafiah tempat ketiga dengan catatan 262kg.

Sementara itu, kategori lebih 96kg lelaki menyaksikan kontinjen Pahang meraih emas pertama dalam sukan angkat berat menerusi Muhammad Faris Haikal Kamarul selepas mengungguli acara itu dengan melengkapkan bebanan angkatan keseluruhan 300kg.

Atlet tuan rumah, Samuel Franklyn Edward memperoleh pingat perak dengan angkatan keseluruhan 262kg manakala gangsa milik Mohamad Farid Izwan Nor Azizol Hamdan dari Perak yang mengangkat bebanan keseluruhan 235kg.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan