EKONOMI

Permintaan Jentera Berat Dalam Perlombongan, Pembinaan Meningkat Dengan Pesat - MBAM

23/08/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Permintaan terhadap jentera berat dalam pembinaan dan perlombongan dijangka melonjak dengan pesat pada masa depan, didorong oleh projek infrastruktur, peluasan bandar serta keperluan untuk mengekstrak dan menggunakan sumber dengan lebih cekap.

Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Astaman Abdul Aziz berkata bagaimanapun, lonjakan permintaan itu mesti diurus dengan penuh tanggungjawab serta kesedaran tinggi mengenai kesan alam sekitar dan sosial.

“Penggunaan jentera berat dalam kedua-dua sektor ini sedang mengalami perubahan ketara. Kemunculan teknologi digital, daripada Internet Pelbagai Benda (IoT) sehingga kecerdasan buatan (AI), merevolusikan cara kita beroperasi,” katanya pada Forum Jentera Pembinaan dan Perlombongan Asia Tenggara 2024 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata rantau Asia Tenggara, yang dikurniakan kekayaan sumber semula jadi dan dipacu semangat pertumbuhan, sedang mengalami gelombang perindustrian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sektor pembinaan dan perlombongan berada di tengah-tengah transformasi ini, berfungsi sebagai tonggak bagi kemakmuran ekonomi kita yang dibina. Sektor ini bukan sekadar penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah juga enjin pembangunan infrastruktur, perbandaran dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Astaman berkata dalam era yang ditakrifkan oleh kemajuan teknologi yang pesat dan evolusi dinamik global, industri mempunyai peluang yang luar biasa dan menghadapi cabaran hebat.

“Automasi dan jentera pintar semakin meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menambah baik standard keselamatan di tapak pembinaan dan operasi perlombongan,” katanya.

Beliau berkata inovasi ini bukan sahaja pilihan malah juga penting untuk kekal berdaya saing dalam pasaran global yang menuntut produktiviti yang lebih tinggi dan jejak alam sekitar lebih rendah.

Lebih-lebih lagi apabila kesan ekonomi daripada industri ini tidak boleh dipandang ringan, katanya.

“Industri ini mencipta pekerjaan, memupuk inovasi dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara justeru, kuasa ekonomi industri ini datang dengan tanggungjawab besar untuk memastikan pertumbuhan adalah inklusif dan mampan.

“Kita mesti berhati-hati dalam mematuhi piawaian kawal selia, bukan hanya untuk pematuhan tetapi aspek itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Peraturan alam sekitar, piawaian keselamatan dan undang-undang buruh bukanlah penghalang kepada pertumbuhan sebaliknya asas kejayaan jangka masa panjang selain amanah daripada pihak awam,” katanya.

Automasi dan amalan mampan dalam pembinaan dan perlombongan menawarkan laluan baharu untuk berjaya di sebalik peningkatan teknologi digital, katanya.

Beliau berkata inovasi tidak berlaku secara berasingan tetapi memerlukan kerjasama merentas sempadan, industri dan sektor.

“Itulah sebabnya acara seperti hari ini sangat penting -- menghimpun kita semua untuk mendapatkan pandangan jauh, meneroka perkongsian dan membina rangkaian yang akan memacu industri kita ke hadapan.

“Kita juga mesti mempertimbangkan peranan kerajaan dan pihak kawal selia dalam membentuk masa depan industri kita. Dasar sokongan, pelaburan dalam infrastruktur dan kerangka kawal selia yang jelas adalah penting untuk memupuk inovasi dan memastikan industri kita boleh berkembang maju,” katanya.

Astaman berkata: “menjadi kewajipan kita sebagai peneraju industri untuk bekerjasama rapat dengan pihak kawal selia, bukan sebagai musuh tetapi sebagai rakan kongsi untuk kemajuan”.

Secara bersama-sama, mereka boleh mewujudkan persekitaran dengan perniagaan boleh berkembang di samping mendukung standard keselamatan, kemampanan dan tanggungjawab etika yang tertinggi, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan