SUKAN

Aura Olimpik Dorong Arlia Raih Emas Memanah SUKMA

23/08/2024 08:41 PM

KUCHING, 23 Ogos (Bernama) -- Pengalaman menyaksikan saingan memanah Sukan Olimpik Paris 2024 menyuntik semangat  Arlia Nur Falisha Mohamad Zairi meraih pingat emas bagi Wilayah Persekutuan pada penampilan pertama di temasya Sukan Malaysia (SUKMA)  2024 hari ini.

Adik kepada Olimpian, Ariana Nur Dania itu cemerlang menewaskan rakan sepasukan Jeslynn Kaur Rajinder Singh 6-4 pada aksi final recurve individu wanita yang turut disaksikan Ariana dan ibunya di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya hari ini.

Arlia, 16, berkata dia hanya berkesempatan menjalani latihan pusat selama seminggu bagi persiapan SUKMA kerana bersama keluarga ke Paris, Perancis bagi memberikan sokongan kepada Ariana yang menyertai Sukan Olimpik, bulan lepas. 

“Saya balik dari Paris terus menjalani latihan,  saya hanya berkesempatan menyertai seminggu sahaja kem latihan, jadi jalani latihan tanpa henti pagi dan petang, Alhamdulillah prestasi baik.

“Semasa di Paris, saya belajar teknik memanah dengan melihat cara kakak dan atlet antarabangsa lain beraksi, secara tidak langsung ia membantu prestasi saya di sini. Saya mahu jadi seperti mereka dan berharap dapat bersama-sama kakak ke Olimpik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak ketiga daripada empat adik beradik itu berkata perlawanan final hari ini sengit dan menyifatkan pertembungan dengan rakan sepasukan lebih mencabar.

Pingat gangsa dimenangi oleh Nurin Iman Mohamed Sham dari Johor mengatasi pemanah Terengganu, Nurul Izzah Mazlan menerusi ‘shoot off’ selepas terikat 5-5.

Bagi acara recurve individu lelaki, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi dari Pahang meraih pingat emas mengetepikan pemanah Selangor, Ahmad Razin Azahar 6-2 manakala pingat gangsa menjadi milik Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (Terengganu) mengalahkan Muhammad Akid Bazli Ezaidin (Johor) dengan 6-4.

Muhammad Haiqal, 19, berkata nasihat ibunya supaya berdoa kepada Allah SWT sebelum beraksi membuatkan dirinya lebih tenang dan konsisten hari ini sekali gus menebus kekecewaan kekalahan di peringkat final dalam tiga lagi acara di temasya dwitahunan itu.  

Atlet kebangsaan itu turut menyumbang tiga pingat perak dalam acara recurve campuran, recurve berpasukan lelaki dan pusingan kelayakan individu lelaki.

“Saya sangat gembira, akhirnya misi pingat emas tercapai. Sasaran saya selepas ini beraksi di Sukan SEA 2025,” katanya yang mula menceburi sukan memanah sejak berusia sembilan tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan