EKONOMI

Impak Jaminan Hasil Penyewaan Pembangunan Battersea Agak Minimum - SDP

23/08/2024 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd (SDP) menjangkakan impak masa depan daripada pelarasan perakaunan berkaitan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa 17 (IFRS 17) adalah minimum, walaupun mengalami kerugian usaha sama yang lebih besar akibat jaminan penyewaan di menara pejabat Battersea Power Station.

Pengarah Urusan Kmpulan SDP, Datuk Azmir Merican berkata kerugian ketara pada separuh pertama 2024 telah didorong oleh kesan perakaunan negatif IFRS 17, yang berkaitan dengan jaminan sewa lima tahun.

“Dengan kadar penghunian bangunan baharu itu hanya bermula pada 20 peratus, impak perakaunan untuk 2024 sangat besar.

“Bagaimanapun, kami tidak menjangka sebarang kesan selanjutnya kerana kami telah mengambil langkah berhemat bagi mengambil kira kesan utama pada suku semasa, dan tidak meramalkan kesan tambahan yang besar untuk baki tahun ini,” katanya kepada media selepas taklimat media maya SDP mengenai keputusan kewangan separuh pertama 2024 hari ini.

Dengan sasaran bagi meningkatkan penghunian bangunan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang, dan akhirnya kepada 80 peratus, syarikat itu menjangkakan impak kewangannya akan berkurangan apabila penyewaan bertambah baik.

“Tumpuan kami mahu meningkatkan penghunian penyewa, yang akan membantu mengurangkan kesan perakaunan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata SDP akan mengkaji semula keadaan itu menjelang akhir tahun tetapi penilaian semasa mencadangkan bahawa sebarang kesan kewangan selanjutnya akan menjadi minimum melainkan perubahan ketara berlaku.

Keuntungan bersih SDP melonjak 127.9 peratus kepada RM161.96 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM71.07 juta yang dicatatkan suku kedua 2023, manakala hasil menokok 74.2 peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM688.92 juta sebelumnya.

Untuk tempoh enam bulan terkumpul berakhir 30 Jun 2024 , keuntungan bersih syarikat meningkat lebih dua kali ganda kepada RM285.54 juta berbanding RM131.74 juta pada separuh pertama 2023, manakala hasil naik kepada RM2.18 bilion daripada RM1.37 bilion.

Secara keseluruhan, Azmir berkata syarikat itu kekal positif mengenai prospek kewangannya dan yakin dengan strateginya untuk mengurus serta mengurangkan kesan pelarasan perakaunan ini.

Sebelum ini, dilaporkan tiga entiti Malaysia iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SDP dan SP Setia berkemungkinan menanggung kerugian kira-kira RM250 juta suku atau RM1 bilion setahun daripada jaminan sewa lima tahun di pembangunan ikonik, Battersea di London.

SDP dan SP Setia Bhd masing-masing mempunyai 40 peratus dalam usaha niaga itu, manakala KWSP memiliki 20 peratus.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd memberitahu pendapatan suku kedua 2024 SDP bertambah sebanyak 23 peratus berbanding suku pertama 2024, manakala keuntungan bersih teras adalah 26 peratus lebih tinggi dari suku ke suku, didorong oleh jualan tanah yang ketara serta peningkatan jualan produk industri dan bertingkat tinggi .

“Bagaimanapun, keuntungan ini sebahagiannya diimbangi oleh kerugian RM56 juta dalam pelaburan dan pengurusan aset berikutan penurunan nilai berkaitan jaminan sewa lima tahun di Stesen Janakuasa Battersea,” katanya dalam satu nota hari ini. 

Secara keseluruhan, bank pelaburan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham-saham SDP, dengan nilai saksama lebih tinggi sebanyak RM1.67 sesaham daripada RM1.25 sesaham sebelum ini.

--- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan