AM

Tanah Runtuh Taman Bunga Raya: DBKL Lantik Kontraktor Kukuhkan Cerun

23/08/2024 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik kontraktor bagi mengukuhkan cerun susulan kejadian runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn di sini. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kerja-kerja meletakkan kanvas di kawasan runtuhan telah dilaksanakan dan pihaknya setakat ini tidak menerima laporan mengenai sebarang pergerakan tanah di kawasan itu.

"Sebanyak 13 kediaman terlibat dalam kejadian itu dan semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Bunga Raya.

"Daripada jumlah itu, sebuah rumah dilaporkan dalam keadaan serius manakala dua lagi dalam keadaan berjaga-jaga," katanya pada sidang media di sini malam ini selepas melawat lokasi wanita warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Maimunah berkata penduduk juga dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah sehingga penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan kawasan itu selamat.

Media melaporkan JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan di Taman Bunga Raya runtuh kira-kira 5.40 petang semalam sehingga menjejaskan sebuah rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan