BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

Rakyat Palestin Cedera Dihantar Pulang Apabila Genjatan Senjata Kekal Dipersetujui

24/08/2024 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Rakyat Palestin yang sedang dirawat di Malaysia hanya akan dihantar pulang ke negara mereka apabila keadaan bertambah baik atau sekurang-kurangnya gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak wajar sekiranya rakyat Palestin berkenaan dihantar pulang ketika gencatan senjata masih belum berlaku.

“Sekurang-kurangnya apabila gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak, barulah kita akan rancang bagaimana untuk menghantar mereka pulang, mereka tidak mahu tinggal di sini, mereka mahu dihantar pulang ke tanah air mereka.

"Jadi, jangan risau bagi mereka yang bimbang rakyat Palestin ini akan tinggal di sini selama-lamanya, saya tidak fikir itu yang mereka mahu. Mereka mahu kita menghantar mereka kembali," katanya kepada pemberita ketika melawat Laman Media di Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 waris mereka akibat serangan berterusan rejim zionis Israel, tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira 2 petang, 16 Ogos lepas.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiada misi kedua membawa lebih ramai rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia setakat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan