BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

800 Orang Sertai Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0

24/08/2024 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Seramai 800 peserta melibatkan 200 kumpulan menyertai Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0 (EMRKL 3.0) anjuran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.

EMRKL 3.0 yang berasaskan penerokaan, sekali lagi menampilkan pelbagai aktiviti, membawa peserta mengimbau serta menyelami budaya dan sejarah kemerdekaan negara selaras dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”, selain diselitkan imbasan penubuhan Rapid KL.

Ketua Jabatan Komunikasi dan Pihak Berkepentingan Kumpulan Prasarana  Adli Abdul Karim berkata edisi ketiga EMRKL ini juga lebih bermakna kerana turut menjadi sebahagian daripada acara sambutan ulang tahun ke-20 Rapid KL.

"Sebagai sebuah syarikat pengangkutan awam, program ini memainkan peranan penting dalam membudayakan penggunaan pengangkutan awam di samping mempromosikan mercu tanda Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, jumlah penyertaan juga meningkat setiap tahun dan ini merupakan peluang untuk warga kota menyambut Hari Kebangsaan dengan cara yang berlainan," katanya kepada Bernama setelah melepaskan peserta di Dataran Muzium Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata semua peserta EMRKL 3.0 perlu menjelajah rangkaian rel dan bas Rapid KL bagi melaksanakan tugasan yang menguji pengetahuan tentang budaya dan sejarah Malaysia, sebelum kembali ke Dataran Muzium Negara.

"Tugasan tersebut harus diselesaikan di enam ‘check-point’ yang terletak di beberapa lokasi terpilih sepanjang jajaran Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel, Transit Aliran Massa (MRT) dan bas Rapid KL di sekitar ibu kota.

"Program ini memberi peluang kepada peserta untuk menjiwai semangat Hari Kebangsaan sekali gus menyemai sikap cinta akan negara dengan melengkapkan  tugasan yang diberi," katanya.

Seorang peserta, Muhd Shamsul Abd Ghani, 35, dari Shah Alam, berkata program itu mampu menjadi platform yang mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

"Jika dilihat, semua peserta terdiri daripada pelbagai kaum...ada Melayu, Cina dan India sekali gus mewakili wajah satu Malaysia," katanya yang juga wartawan daripada akhbar Sinar Harian.

Bagi Cien Yoong Hee, 31, dari Petaling Jaya, program itu secara tidak langsung memberinya pengalaman baharu serta menjadi platform terbaik untuk peserta mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

"Saya sangat teruja dengan pengisian aktivitinya… nampak menyeronokkan selain membantu menambah pengetahuan," katanya.

Pekerja swasta Nurdeena Anuar, 35, dari Ampang pula memanfaatkan program berkenaan bagi mencari pelbagai lokasi menarik di ibu kota menerusi penggunaan pengangkutan awam.

"Selain boleh menambah kenalan baharu dan berkongsi minat sama, acara ini turut membantu kami mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan," katanya.

Peserta EMRKL 3.0 berpeluang membawa pulang wang tunai dan pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM15,000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan