AM

Premis Perniagaan Di Lokasi Tanah Jerlus Sepi, Lengang

24/08/2024 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Walaupun premis perniagaan di sekitar lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, masih dibuka dan beroperasi seperti biasa namun kawasan itu kelihatan sepi kerana kurang pengunjung.

Tinjauan Bernama di pusat perniagaan Wisma Yakin yang terletak hanya 10 meter dari lokasi tanah jerlus dan premis kedai di bawah Flat Malayan Mansion mendapati, keadaan amat lengang.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Asmawati, 52, berkata kehadiran pengunjung ke kedainya yang terletak hanya 15 meter dari lokasi kejadian menurun sehingga 90 peratus, berbanding tengah hari semalam meskipun selepas kejadian berlaku.

“Boleh lihat tiada siapa pun yang lalu di kedai kami, mungkin juga sebab mereka bimbang. Kami akan teruskan berniaga sehingga mendapat arahan pihak berkuasa sekiranya mereka mengarahkan untuk menutup operasi demi keselamatan, kami tiada pilihan namun ini juga punca pendapatan harian kami,” katanya.

Asmawati berkata kejadian mendapan tanah pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Seorang peniaga songkok Rizal Jasni, 64, pula berkata dia memulakan perniagaan di Wisma Yakin sejak 1980 dan kejadian tanah jerlus itu dianggap sebagai isyarat kepada orang ramai, untuk sentiasa berhati-hati ketika berkunjung ke kawasan itu.

Beliau berkata pembangunan pesat di kawasan sekitar Masjid India dan Jalan Tun Perak, juga  berkemungkinan menjadi faktor penyumbang kepada bencana alam yang berlaku.

“Kejadian seperti ini memang memberi kesan besar kepada peniaga terutamanya selepas pandemik COVID-19.

“Kita harapkan pihak berkuasa dapat mencari jalan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, selain melakukan pemantauan berkala bagi menjamin keselamatan orang ramai terutama di kawasan Jalan Masjid India,” katanya.

Semalam, media melaporkan mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India itu merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian pada 8.22 pagi itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan