SUKAN

Kemahiran Individu, Benteng Pertahanan Kunci Kejayaan JDT- Bidoglio

25/08/2024 01:52 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) merangkul hatrik Piala FA 2024 Menyerlahkan kejayaan luar biasa pasukan itu dalam membangunkan kemahiran individu pemain dan falsafah mempertaruhkan segalanya dalam benteng pertahanan, kata ketua jurulatih Hector Bidoglio.

Katanya usaha mempertajamkan  kemahiran pemain pertahanan membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang kemenangan besar dengan menewaskan Selangor FC 6-1.

“Falsafah, tingkah laku taktikal adalah untuk mengambil risiko sepanjang masa kerana memperagakan  corak permainan serangan dengan mengawal bola sepanjang masa serta mematahkan setiap gerak-geri penyerang lawan di bahagian pertahanan.

“Ia amat sukar tetapi pemain berlatih kaedah ini setiap hari dan malam ini semua pemain beraksi sebagai satu pasukan dengan baik sekali dan sudah pasti ada pemain dengan kemahiran individu yang cemerlang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan selain mengakui banyak perkara yang perlu diperbaiki pasukan Gergasi Merah selepas ini.

“Keputusan ini sedikit sebanyak menunjukkan banyak perkara perlu diperbaiki supaya berada di tahap yang lebih baik,”katanya.

Beliau pada masa sama mengakui beberapa kesilapan anak buahnya juga mungkin menjadi faktor kekecewaan pasukan Gergasi Merah tewas kepada JDT yang disifatkan sebagai pasukan berpengalaman. 

Terdahulu, JDT berjaya menambah lambakan koleksi kejuaraan selepas menundukkan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA 2024/2025 malam ini. 

Kejayaan skuad Harimau Selatan dipacu jaringan hatrik Juan Muniz, Alvin Fortes, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes manakala jaringan tunggal Selangor FC oleh Aif Aiman Mohd Hanapi. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan