BERITA TERGEMPAR   Tanah jerlus: JKM akan beri bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa - Dr Zaliha | 
 AM

Kepala Air: Lagi Mangsa Terperangkap Diselamatkan

24/08/2024 09:11 PM

TANJUNG MALIM, 24 Ogos (Bernama) --  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyelamatkan lapan lagi mangsa yang terperangkap apabila Jambatan Slim Village runtuh akibat kepala air di Kampung Pasir, dekat Sg Geliting, Slim River di sini. 

Pegawai APM Daerah Muallim Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata operasi menyelamat itu mengambil masa 40 minit dan kesemua mangsa yang diselamatkan terdiri tiga lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak.

“Kita mulakan operasi menyelamat sekitar 2.05 petang dan berakhir pada 2.45 petang, menggunakan bot penyelamat milik APM. Mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir dan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Terdahulu, seramai 21 mangsa yang terperangkap Risda Eco Park berhampiran sungai berkenaan selamat dipindahkan pada 12 tengah hari tadi. 

Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Sabrodzi Nor Ahmad memaklumkan seramai sembilan mangsa banjir di Kampung Pasir berjaya diselamatkan malam tadi.

Hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan di daerah Muallim sejak petang semalam menyebabkan banjir dan kepala air berlaku sehingga mengakibatkan jambatan berkenaan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan.

Shahrizal turut menasihatkan penduduk kawasan sekitar Kampung Pasir supaya berwaspada dan mendapatkan bantuan lebih awal jika bencana berkenaan berulang.

“Kita tidak menolak kemungkinan bencana sama berulang dalam tempoh waktu ini dan kita harapkan mereka yang enggan berpindah sentiasa berwaspada dan mendapatkan bantuan lebih awal jika berlaku sebarang risiko,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan