AM

Kemanusiaan Palestin: Malaysia Pertimbang Tambah Bantuan Jika Perlu - PM Anwar

25/08/2024 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan mempertimbangkan untuk menambah bantuan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera, sekiranya terdapat keperluan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai fasa seterusnya, untuk membantu warga Palestin yang cedera.

“Setakat ini, (fasa seterusnya) tidak ada perkembangan, sebabnya fasa pertama adalah perubatan (rakyat Palestin cedera yang dibawa ke Malaysia), yang telah baik (sembuh) akan dihantar balik. Jadi kita ambil pendekatan aman dan tenang sekejap.

“Kita nanti (akan) runding dengan Mesir yang telah menampung, Arab Saudi, Turkiye, Qatar, kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang dan setakat ini kita nak rawat dan bagi diorang (mereka) sihat dahulu. Kita akan bincang dan sekarang terlalu awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.

Pada 15 Ogos, Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini, menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.

Muktamar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya Dr Zulkifli Hasan, serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.

Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara, hadir dalam muktamar anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan