SUKAN

PFC Nasaf Mula Kempen Kelayakan Awcl Dengan Langkah Kanan

25/08/2024 11:58 PM

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Pasukan PFC Nasaf dari Uzbekistan memulakan kempen kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) dengan langkah kanan apabila menewaskan wakil Nepal, APF FC 1-0 di Stadium Likas di sini nalam ini.

Bermula babak pertama permainan kedua-dua pasukan agak seimbang dan masing-masing cuba mengatur serangan namun gagal menghasilkan gol.

Pada minit ke-19 PFC Nasaf hampir mendapat jaringan pertama hasil rembatan kencang penyerang Aziza Norboea dari luar kotak penalti namun ia sedikit tersasar.

Bermula babak kedua PFC Nasaf kendalian Jonimqulova Maftuna bermula garang dengan melakukan beberapa serangan dan berjaya menghasilkan gol pada minit ke-49 hasil sepakan kencang pemain tengahnya Lily Niber Lawrence di kawasan kotak penalti.

PFC Nasaf semakin mendominasikan permainan dengan menghasilkan beberapa lagi percubaan berbahaya namun gagal menewaskan penjaga gol APF FC Anjila Tumbapo Subba dan keputusan kekal 1-0 sehingga permainan tamat.

Saingan Kumpulan C bersambung pada Rabu ini apabila tuan rumah Sabah FA melawan APF FC sebelum perlawanan terakhir kumpulan pada Sabtu ini (31 Ogos) dengan PFC Nasaf bertemu Sabah FA.

Kejohanan julung kali diadakan itu menyaksikan penyertaan 21 pasukan bola sepak wanita  dengan juara kumpulan peringkat kelayakan bakal ke peringkat kumpulan bagi merebut kejuaraan sulung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan