AM

Insiden Tanah Jerlus: 72 Jam Berlalu Tanpa Petunjuk Baharu

26/08/2024 01:02 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Lebih 72 jam berlalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, masih gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.

Pasukan SAR yang meneruskan operasi sejak 9.30 pagi pada hari ketiga dengan kekuatan 104 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi keselamatan serta pihak berkuasa gagal membuahkan sebarang hasil walaupun telah melakukan menjalankan pencarian semula di lima daripada enam lurang kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Ekoran itu, satu mesyuarat telah diadakan oleh agensi terbabit seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta IWK dengan dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Hasilnya, mesyuarat memutuskan untuk melakukan teknik 'flushing' di lurang lima dan enam iaitu berhampiran Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta berdekatan Bulatan Kinabalu setelah mendapati arus di kedua-dua lokasi agak perlahan dipercayai disebabkan ada sekatan atau reruntuhan puing.

Operasi malam ini, yang diselaras oleh pasukan IWK masih berjalan.

Insiden itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang memberi jaminan bahawa SAR akan diteruskan.

Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman turut menyatakan bahawa pasukan SAR tidak menetapkan sebarang tempoh pencarian dan ia akan diteruskan sehingga mangsa ditemukan.

Sementara itu, penghuni di 160 unit di Flat Malayan Mansion yang dianggarkan lebih 800 orang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan mereka berikutan jarak insiden tanah jerlus Jumaat lepas berlaku tidak sampai 50 meter dari kediaman mereka.

Maimunah pula memberi jaminan bahawa situasi di Kuala Lumpur termasuk Jalan Masjid India adalah selamat dan tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan bahawa ibu kota berdepan ancaman insiden ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkuasa tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menubuhkan pasukan khas yang dianggotai oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Geologi dan Jabatan Kerja Raya untuk melihat serta mengkaji keadaan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan