AM

Mpox: 25 Kes Disahkan Negatif Daripada 31 Kes Disyaki

26/08/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 31 kes mpox atau cacar monyet disyaki di Malaysia setakat hari ini dengan 25 kes disahkan negatif manakala enam masih dalam pemantauan. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad  berkata kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.

"Dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes mpox,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dzulkefly berkata langkah segera diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes di negara jiran antaranya Singapura dan Thailand dengan memperkukuh saringan di pintu masuk negara dan pengaktifan 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

"Bukan hanya dua negara ini (Singapura and Thailand) tetapi juga pengunjung yang datang dari negara-negara lain terutamanya dari benua Afrika.

"Kami juga menghantar lebih banyak dan kerap pekeliling dalam kalangan kemudahan kesihatan kami, kedua-dua awam dan swasta," katanya.

Pada 14 Ogos lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan