EKONOMI

TM Komited Sokong Ekosistem 5G Walaupun Perjanjian Ekuiti DNB Dibatalkan

26/08/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) merancang untuk memanfaatkan liputan gentiannya yang meluas di seluruh negara bagi menyokong ekosistem teknologi kelima (5G) walaupun perjanjian langganan saham (SSA) ditamatkan oleh Digital Nasional (DNB) membabitkan kepentingan dalam DNB.

TM telah membuat permohonan serta merayu pelanjutan “syarat duluan tarikh henti panjang” bagi syarikat itu mendapatkan kelulusan pemegang sahamnya bagi kepentingan dalam DNB, pada mesyuarat agung luar biasa berikutan SSA melibatkan transaksi pihak ketiga.

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris sebaliknya menegaskan kumpulan itu masih berminat untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem 5G di Malaysia.

“Oleh itu, walaupun DNB belum meluluskan rayuan serta permintaan kami, terdapat banyak cara serta peranan (yang boleh kami lakukan) untuk menyokong ekosistem 5G.

“Sebagai contoh, kami adalah penyedia rangkaian gentian terbesar di Malaysia. Justeru, saya yakin akan ada peranan untuk kami menyokong ekosistem 5G, sama ada dalam rangkaian pertama atau kedua sebagai kontraktor (atau) pemilik rangkaian gentian,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat media mengenai pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2024 TM di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai kelulusan pemegang saham.

Mengulas impak pembatalan SSA ke atas perkhidmatan 5G TM, Amar Huzaimi menegaskan tindakan itu tidak menjejaskan tawaran 5G sedia ada kepada para pelanggan memandangkan langganan perkhidmatan borong 5G daripada DNB masih kekal.

“Kumpulan ini komited untuk menyediakan tawaran penumpuan digital berkualiti tinggi yang merentasi pelbagai segmen pelanggan,” katanya.

Merujuk penyertaan TM dalam rangkaian 5G kedua Malaysia, Amar Huzaimi berkata syarikat telekomunikasi itu telah mengemukakan cadangan bagi pakej maklumat pemohon (AIP) dan sedang menunggu hasil daripada proses itu. 

"(Proses) tender masih lagi dijalankan," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan