EKONOMI

Unit KUB Jual 70 Peratus Kepentingan Dalam KUB Sepadu Bernilai RM103.37 Juta

26/08/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- KUB Agro Holdings Sdn Bhd (KUBAH), anak syarikat milik penuh tidak langsung KUB Malaysia Bhd (KUB) memeterai perjanjian pembelian saham dengan Sinong Enterprise Sdn Bhd (SESB) untuk menjual 70 peratus kepentingan ekuiti KUBAH dalam KUB Sepadu Sdn Bhd (KUBS) bernilai RM103.37 juta.

KUB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan penjualan tu terdiri daripada 4.55 juta saham biasa dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2025.

Aktiviti utama KUBS adalah penanaman sawit dan pengurusan ladang sawit. Ia mempunyai dua ladang  sawit berkeluasan agregat 4,614.53 hektar di Mukah, Sarawak.

Menurut syarikat, cadangan penjualan itu adalah cadangan berdaya maju untuk syarikat merealisasikan sebahagian pelaburannya dalam ladang KUBS dan mengehadkan sumber kewangan yang diperlukan untuk memulihara dan menyelenggara ladang KUBS pada masa depan.

“Kumpulan akan dapat memanfaatkan hasil diraih daripada saranan penjualan itu untuk perniagaan terasnya yang lain dan bercadang menggunakan sebahagian daripada hasil berkenaan untuk mengembangkan perniagaan, tetapi tidak terhad kepada potensi pembelian atau pelaburan dalam perniagaan/aset pelengkap yang sama atau lain, ” katanya.

Menurutnya cadangan penjualan itu memberi peluang kepada KUB untuk merealisasikan keuntungan pro forma daripada penjualan sebanyak RM19.65 juta dan dijangka meningkatkan aset bersih dan pendapatan kumpulan.

“Oleh itu, kumpulan akan berkedudukan lebih baik untuk memberikan pulangan mampan yang lebih tinggi kepada pemegang saham KUB,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan