EKONOMI

Keuntungan Bersih TM Susut Kepada RM396.42 Juta Pada Suku Kedua

26/08/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) telah mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM396.42 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024, turun daripada RM568.74 juta tahun sebelumnya.

Hasil juga merosot sebanyak 1.7 peratus kepada RM2.91 bilion pada suku itu daripada RM2.96 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penurunan itu kebanyakannya disebabkan oleh hasil lebih rendah daripada perkhidmatan suara, bagaimanapun pendapatan perkhidmatan internet dan data terus menunjukkan pertumbuhan stabil.

“Dalam pada itu, keuntungan operasi sebelum keuntungan dan kos kewangan lain merosot sebanyak 2.7 peratus (RM17.3 juta) kepada RM612.7 juta daripada RM630.0 juta.

“ Keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) TM adalah RM396.4 juta untuk suku kedua 2024, mencerminkan penurunan 30.3 peratus (RM172.3 juta) daripada RM568.7 juta dicatatkan pada suku kedua 2023. Penurunan ini kebanyakannya disebabkan oleh pengiktirafan aset cukai tertunda pada tahun sebelumnya," katanya.

TM telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 12.5 sen sesaham, berjumlah RM479.7 juta untuk separuh tahun berakhir 30 Jun 2024, peningkatan daripada 9.5 sen sesaham dividen interim diisytiharkan pada tahun sebelumnya.

Mengenai hasil mengikut segmen pelanggan, ia berkata Unifi mengekalkan pertumbuhan pelanggan jalur lebar yang stabil pada suku kedua 2024 berbanding suku sama tahun lepas.

Bagaimanapun, penurunan dalam hasil perkhidmatan suara dan peranti mudah alih mengakibatkan penurunan dalam hasil operasi, merosot sebanyak 1.6 peratus (RM22.7 juta) kepada RM1.39 bilion, berkurangan daripada RM1.41 bilion pada suku sama tahun sebelumnya.

Ia juga berkata TM One merekodkan hasil operasi sebanyak RM740.6 juta pada suku semasa, meningkat sebanyak 4.9 peratus (RM34.4 juta), daripada RM706.2 juta pada suku sama tahun lepas, disebabkan pengiktirafan hasil berkaitan dengan penyelesaian timbang tara baru-baru ini.

Disebabkan hasil perkhidmatan suara (antarabangsa) lebih rendah, ia berkata hasil operasi TM Global merosot sebanyak 8.6 peratus (RM71.0 juta) kepada RM751.5 juta pada suku kedua 2024 daripada RM822.5 juta pada suku kedua 2023.

Mengenai prospek, ia berkata TM secara proaktif menyesuaikan strategi perniagaannya untuk mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu untuk masa depan sambil mengukuhkan perniagaan terasnya.

TM telah menjalin kerjasama dengan Nxera, cabang pusat data Singtel bagi membina pusat data sedia kecerdasan buatan termaju di Johor.

Menurut pemfailan itu, ia menunjukkan komitmen untuk memberi perkhidmatan penyelesaian pusat data berkualiti tinggi, disokong oleh kabel dasar laut baharu dan pengembangan pusat data sedia ada, mengukuhkan kedudukan TM sebagai hab digital pilihan untuk rantau ASEAN.

“TM terus menyokong ekosistem 5G di Malaysia dan menyediakan perkhidmatan digital berkualiti tinggi merentasi pelbagai segmen pelanggan kami.

“Kami kekal yakin dalam mencapai matlamat kami untuk menjadi kuasa digital menjelang 2030 dan mengekalkan prospek positif untuk tahun ini, sejajar dengan panduan pasaran terbitan 2024 oleh TM,” katanya.

Bagi separuh pertama 2024, TM mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM821.23 juta daripada RM898.83 juta pada separuh pertama 2023 manakala hasil berjumlah RM5.74 bilion.

Kumpulan itu merekodkan pertumbuhan 14.5 peratus dalam pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT), mencecah RM1.26 bilion berbanding RM1.10 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia didorong oleh tumpuan berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berkesan manakala PATAMI menurun sebanyak 8.6 peratus kepada RM821.2 juta pada separuh pertama 2024 disebabkan oleh kredit cukai sekali sahaja pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata Unifi UniVerse, satu set tawaran untuk penyelesaian internet rumah, mudah alih, hiburan dan gaya hidup terus popular pasaran.

Beliau juga berkata kumpulan itu memajukan infrastruktur digital Malaysia melalui pembangunan Perkhidmatan Kecemasan Generasi Akan Datang 999 (NG999) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Perbelanjaan modal (CAPEX) pada separuh perama 2024 berjumlah RM460 juta, mewakili 8.0 peratus daripada jumlah hasil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan