EKONOMI

Kertas Putih Agenda Negara Menua Dibentang Di Parlimen Tahun Depan

27/08/2024 08:08 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Ekonomi bercadang membentangkan Kertas Putih Agenda Negara Menua di Parlimen pada tahun depan, kata menterinya Rafizi Ramli.

Beliau berkata ketika ini rangka kerja dan pelan tindakan negara menua telah disiapkan, dan rangka kerja yang dibangunkan bersama Bank Dunia itu akan dibentangkan terlebih dahulu pada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada November.  

“Perkara itu (rangka kerja) akan menjadi satu daripada tumpuan utama di dalam Rancangan Malaysia ke-13. Jadi setelah kita mendapat kelulusan dan membincangkan secara mendalam di peringkat kerajaan selepas dibentangkan di MTEN. Insya-Allah rangka kerja negara itu akan dibentangkan kepada rakyat,” katanya.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2024  di sini hari ini.

Beliau berkata maklumat mengenai negara menua ini perlu diketahui oleh rakyat secara keseluruhannya kerana ada beberapa perkara perlu ditangani.

“Kita ada beberapa kelemahan dari segi perlindungan sosial terutamanya kepada kumpulan pencen yang perlu kita beri penekanan segera. Insya-Allah yang ini akan bermula dengan Kertas Putih dan cabaran itu akan ditangani,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang menyediakan Agenda Negara Menua yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044.

Dalam tempoh kurang tujuh tahun iaitu 2030 Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15 peratus jumlah penduduk ialah warga emas.

Berdasarkan Data Banci Penduduk dan Perumahan 2020, peratus penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas meningkat daripada lapan peratus (dua juta) pada 2010 kepada 10.4 peratus (3.4 juta) pada 2020.

Malaysia juga mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 75.6 tahun pada 2020 berbanding 63.6 tahun pada 1970.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan