SUKAN

SUKMA 2024: Ada Insentif Untuk Atlet Bawa Pulang Pingat - Ahmad Samsuri

27/08/2024 09:43 PM

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menyediakan insentif kepada atlet negeri itu yang berjaya membawa pulang pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun kerajaan negeri akan melihat laporan penuh prestasi atlet Terengganu pada temasya sukan dwitahunan itu terlebih dahulu.

“Insentif tetap ada cuma tunggu laporan penuh. Namun, apa yang paling penting adalah untuk melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya dua tahun lagi kita akan tambah baik keadaan kita (yang) tentulah sasaran kita untuk jadi juara keseluruhan,” katanya.

Ditanya mengenai insentif terhadap atlet terjun wanita yang dihantar ke temasya itu tanpa melalui kerajaan negeri, Ahmad Samsuri berkata pihaknya akan melihat laporan penuh mengenai perkara tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Batu Buruk bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, di sini hari ini. 

Pada temasya itu, Terengganu menduduki tangga kelima carta selepas meraih keseluruhan 124 pingat dengan 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan