AM

Visa Haji: Malaysia Sokong Langkah Tegas, Hukuman Berat Arab Saudi

27/08/2024 10:36 PM

KUALA LUMPUR, Aug 27 (Bernama) -- Malaysia menyokong langkah tegas dan hukuman berat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas mereka yang melanggar peraturan dan arahan berkaitan isu visa haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata langkah-langkah itu bertujuan memastikan keselamatan jemaah menunaikan haji dalam persekitaran yang selamat dan aman.

"Saya sekali lagi menekankan komitmen kami dalam mendidik bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan sempena lawatan rasmi Dr Tawfiq ke Malaysia bermula Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos), bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

Susulan itu, Mohd Na’im menzahirkan harapan untuk meneruskan kerjasama saling menguntungkan dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya dalam bidang berkaitan meningkatkan pengalaman haji dan umrah.

"Perbincangan berjalan dengan baik mengenai kolaborasi pada masa depan antara kedua-dua negara dan saya harap akan memberikan lebih banyak kemudahan dan keselesaan bagi jemaah kita dalam perjalanan menunaikan haji dan umrah mereka," katanya. 

Sementara itu, Dr Tawfiq berkata kerajaan Arab Saudi sedang giat memerangi skim promosi haji haram dengan kerjasama kerajaan Malaysia. 

Beliau menekankan kepentingan menggunakan platform rasmi Malaysia dan Arab Saudi sahaja untuk perancangan haji dan umrah bagi memastikan pengalaman haji yang selamat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas pengendalian rapi urusan jemaah haji dan skim latihan yang baik untuk jemaah haji. 

“Komitmen anda untuk memastikan ziarah yang lancar dan bermakna untuk warga anda sejajar dengan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung ke tanah suci,” katanya.

Selain itu, Dr Tawfiq berkata kedua-dua negara telah menubuhkan pasukan petugas bersama dengan dua objektif utama iaitu untuk melihat kemungkinan meluaskan Inisiatif Jalan Makkah kepada jemaah umrah Malaysia dan untuk mengkaji potensi mengaplikasikan model perniagaan Tabung Haji bagi pengurusan haji di negara lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan