BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Insiden Tanah Jerlus: Mendapan Kedua Dikesan, Jalan Masjid India Ditutup

29/08/2024 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Belumpun tamat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang memasuki hari keenam, pasukan keselamatan berdepan cabaran baharu apabila satu lagi mendapan tanah dikesan pada awal pagi tadi.

Apa yang mengejutkan, mendapan itu yang dikesan pada 2.30 pagi, berlaku berhampiran pondok polis iaitu terletak kira-kira 50 meter dari lokasi insiden yang menyaksikan pelancong wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

Ia sekali gus menyaksikan Jalan Masjid India ditutup kepada semua kenderaan manakala orang awam tidak dibenarkan berada di kawasan itu namun pejalan kaki masih dibenar melalui sebahagian jalan berkenaan yang tidak terjejas.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK) juga telah diminta memeriksa paip kumbahan di lokasi insiden mendapan tanah berhampiran pondok polis itu.

Terdahulu, operasi SAR yang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), DBKL, Angkatan Pertahanan Awam dan polis hari ini bermula dengan perbincangan berkaitan teknik, kaedah serta penugasan selain kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Di Loji IWK Pantai Dalam pula, dua anggota SAR sekali lagi memasuki stesen pam pada sebelah pagi dalam usaha mengesan mangsa dengan kedua-duanya lengkap memakai topeng dan tangki oksigen selain topi keselamatan. 

Mereka memasuki stesen pam itu pada 10.30 pagi dan keluar 20 minit kemudian namun setakat tengah hari, masih tiada petunjuk positif ditemukan mengenai keberadaan mangsa di lokasi berkenaan.

Bernama difahamkan operasi SAR di loji itu ditanggguh pada 5.40 petang dan pencarian akan disambung pada 9 pagi esok.   

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang berkesempatan meninjau lokasi kejadian di Jalan Masjid India, pula berkata kerajaan akan melaksanakan audit integriti terhadap keseluruhan sistem utiliti di kawasan itu selepas SAR selesai.

Beliau berkata pemeriksaan itu dilaksana bagi memastikan keselamatan orang ramai selain mengetahui punca insiden mendapan di kawasan berkenaan.

Warganet dan orang ramai juga tidak henti-henti mendoakan agar mangsa ditemukan segera malah kehadiran empat individu membawa bunga kekwa kuning menarik perhatian mereka yang berada di lokasi insiden pada 1.10 tengah hari sebelum melakukan upacara keagamaan hampir 10 minit.

Pada lewat malam ini, JBPM memaklumkan Bernama bahawa pihaknya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus hingga lurang kumbahan kedua yang terletak kira-kira 80 meter.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke lokasi kejadian petang semalam serta pengesanan kamera.

Beliau berkata operasi pengesanan mangsa dengan kaedah selaman hingga di lurang kumbahan kedua akan dimulakan pada 2 pagi melibatkan lapan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik. 

“Kita lakukan operasi ini pada 2 pagi kerana kita jangkakan paras air kumbahan akan kurang dari satu meter berbanding kebiasaannya dan paras air pada ketika ini ialah pada ketinggian 1.5 meter dengan kelajuan tiga knot. Kelajuan ini menandakan air deras dan merisikokan penyelam.

“Kita ambil inisiatif untuk periksa di lurang kumbahan itu kerana ada ruang kecil antara dinding lurang kumbahan dengan paip saluran air kumbahan, kemungkinan ada objek tersekat di ruang berkenaan,” katanya sambil menambah Denti dan Frankie akan dibawa turun bersama bantuan kamera dan penyelam apabila air kumbahan surut.

Setakat 11 malam ini, pasukan SAR giat melaksanakan kerja-kerja menyedut air kumbahan bagi memudahkan pergerakan penyelam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM yang akan memulakan operasi pada 2 pagi nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan