BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Johor Sasar Jadi Pusat Pelancongan Terulung Negara - Onn Hafiz

29/08/2024 09:14 AM

ISKANDAR PUTERI, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menyasarkan untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat pelancongan terulung di Malaysia, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan Johor mempunyai keistimewaan dan tarikan merangkumi kepelbagaian makanan, tempat dan infrastruktur pelancongan dan ia sejajar dengan hasrat Johor untuk menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

“Johor terkenal dengan kepelbagaian tarikan … kita mempunyai makanan yang sedap, tempat pelancongan yang hebat, taman-taman negara dari gunung ke laut, tetapi dari segi pelancongan kita belum nombor satu.

“Saya yakin Johor boleh, kerana Johor selalu mencapai tahap yang membanggakan seperti kemenangan luar biasa Piala FA yang cukup cemerlang … itulah Johor penanda arasnya tinggi … kalau pergi Stadium Sultan Ibrahim (SSI) betapa canggihnya bangunan itu … betapa megahnya ia berdiri sehingga menjadi kebanggaan Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Majestic Johor Festival 2024 di Puteri Harbour di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Polis Johor CP M Kumar dan Pengarah Tourism Johor Shahril Nizam.

Onn Hafiz berkata dalam merealisasikan sasaran itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam memajukan sektor pelancongan negeri ini, malah harus menjadikan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sebagai contoh kerana baginda berjaya mengubah landskap sukan bola sepak Johor ke tahap cemerlang.

“Sebab itu saya yakin kalau penanda arasnya begitu tinggi yang telah ditunjukkan pemangku Sultan Johor, kita juga sebagai rakyat, sebagai pemimpin-pemimpin mesti sahut apa yang dibuat oleh keluarga diraja.

"Dua tahun lagi akan ada tahun melawat Johor dan kita sasar lebih 12 juta pelancong akan hadir ke sini, jadi kita sedang berbelanja tahun ini dan tahun depan untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan dan kita kena fikirkan slogan untuk tahun melawat Johor. Saya cadangkan diadakan pertandingan supaya ‘bangsa Johor’ memberi input dan pandangan,” katanya.

Sementara itu, Majestic Johor Festival 2024 anjuran kali ketiga oleh kerajaan negeri melalui Tourism Johor dengan kerjasama serta sokongan pelbagai agensi yang berlangsung semalam hingga 1 September ini menyasarkan lebih 600,000 pengunjung dari dalam dan luar negara yang menyumbang janaan ekonomi tempatan.

Antara pengisian yang bakal menjadi tarikan utama program sepanjang lima hari ialah pameran eksklusif kereta antik diraja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan