AM

Akta Kebebasan Maklumat: Rakyat Perlu Diberi Hak Cari, Terima Dan Beri Maklumat - Azalina

29/08/2024 09:06 PM

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Keputusan berhubung penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) mencerminkan ketelusan Kerajaan Perpaduan yang berpegang kepada asas bahawa setiap rakyat harus diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam konteks Malaysia, matlamat utama kerajaan ialah memastikan orang awam mendapat akses kepada maklumat sahih yang lebih terbuka dan telus daripada pihak kerajaan dan secara tidak langsung, akan membantu rakyat untuk turut terlibat dalam proses pembentukan dasar negara.

Mengikut piawaian antarabangsa iaitu Resolusi 59 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 1946, kebebasan maklumat ditafsir sebagai hak akses yang diberikan kepada orang awam bagi mendapatkan maklumat milik badan awam atau kerajaan dan merupakan sebahagian daripada hak asasi untuk bersuara.

Beliau berkata justeru itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri telah melaksanakan sesi libat urus secara menyeluruh di seluruh negara mengikut zon melibatkan 1,100 peserta termasuk penyertaan wakil pertubuhan masyarakat sivil serta badan bukan kerajaan, badan peguam dan ahli akademik.

“Sesi libat urus hari ini turut melibatkan panel penceramah jemputan dan pakar yang diundang khas dari luar negara iaitu Australia, Kanada, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Indonesia bagi berkongsi pengalaman melaksanakan perundangan FOI ini agar menjadi panduan serta rujukan dalam proses menggubal Akta FOI di Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena penganjuran sesi libat urus di Putrajaya selama dua hari bagi membincangkan secara interaktif bersama kementerian dan agensi berkaitan sebagai pemilik maklumat untuk mendapatkan pandangan serta input berkaitan penggubalan FOI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Sept 2023 berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional secara prinsip bersetuju dengan penggubalan FOI bagi mewujudkan parameter serta garis panduan jelas untuk memberi akses kepada orang awam mendapatkan maklumat daripada badan awam dan kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 14 Sept memaklumkan selaras dengan keputusan mesyuarat yang bersetuju secara prinsip dengan penggubalan FOI, Akta Rahsia Rasmi 1972 juga akan dipinda sewajarnya.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkat dan menggalakkan penglibatan rakyat dalam proses pembentukan dasar negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan