BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Kerajaan Lulus RM100 Juta Peruntukan Tambahan Penyenggaraan Jalan Persekutuan

29/08/2024 03:56 PM

KLUANG, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung berjumlah RM100 juta bulan ini, untuk memperkasakan Kontraktor Bumiputera G1-G4.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM70 juta diperuntukkan bagi 79 kerja penyenggaraan Berkala Pavemen dan RM30 juta untuk 200 kerja penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen.

“Bagi Zon Selatan meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sejumlah 18 kerja Berkala Pavemen bernilai RM15.06 juta ditawarkan … manakala bagi Berkala Bukan Pavemen, 36 kerja bernilai RM6.5 juta ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses cabutan undi bagi Program Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia–Zon Selatan Tahun 2024 untuk Kontraktor Bumiputera G1-G4 di sini hari ini.

Ahmad berkata Johor menerima peruntukan terbesar bagi Zon Selatan dengan jumlah RM11.75 juta diikuti Negeri Sembilan (RM6.645 juta) dan Melaka (RM2.165 juta).

Beliau berkata Johor mendapat peruntukan RM8.05 juta untuk 10 kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen sementara Negeri Sembilan menerima RM5.4 juta (enam kerja penyenggaraan) dan Melaka RM1.61 juta (dua kerja penyenggaraan).

Bagi kerja Berkala Bukan Pavemen, katanya sebanyak RM3.7 juta untuk 36 kerja penyenggaraan diperuntukkan kepada Johor manakala Negeri Sembilan memperoleh RM2.245 juta (11 kerja penyenggaraan) dan Melaka RM555,000 (enam kerja penyenggaraan).

“Kerja-kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan seperti mill and pave, overlay, pembinaan semula struktur jalan dan menurap semula turapan jalan.

“Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen pula melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain struktur dan turapan jalan, seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan dan sebagainya,” katanya.

Ahmad berkata pelantikan kontraktor secara cabutan undi itu dikhususkan kepada Kontraktor Bumiputera Gred G1-G4 yang layak sama ada dari segi rekod prestasi dan mempunyai pendaftaran lesen yang masih sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan berdaftar mengikut had nilai kerja yang disenaraikan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan insiden tanah jerlus dan tanah mendap di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah bertindak sebagai penasihat pakar dan memberikan pandangan kepada pihak yang berkaitan dengan penyenggaraan jalan.

“Antara nasihat yang penting diberikan oleh KKR ialah kepentingan penyenggaraan, kaedah membantu mencari mangsa yang hilang di tanah jerlus itu dan kaedah penyenggaraan jangka masa pendek serta panjang terhadap jalan,” katanya.

Pada Jumaat lepas, kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan