BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 AM

Malaysia, Timor-Leste Setuju Tingkat Kerjasama Pendidikan Dan Perancangan Bandar

29/08/2024 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Timor-Leste bersetuju untuk meneroka bidang kerjasama baharu terutama pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar serta perancangan bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata menerusi aspek pemerkasaaan pendidikan tinggi, Universiti Teknikal Mara (UniKL) akan menganugerahkan 50 biasiswa kepada pelajar Timor-Leste bagi menarik minat mereka untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

"Selain itu, UniKL akan berperanan sebagai penyedia teknologi bagi penubuhan politeknik baharu di Timor-Leste yang memfokus kepada bidang pemasaran digital, teknologi makanan dan pengurusan pelancongan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid, yang dalam rangka lawatan rasmi ke Timor-Leste selama tiga hari bermula semalam, berkata perkara itu adalah antara beberapa keberhasilan yang dicapai menerusi pertemuan beliau dengan pemimpin negara berkenaan seperti  Presiden José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Koordinasi Hal Ehwal Ekonomi serta Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay serta Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Hal Ehwal Sosial serta Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti Mariano Assanami Sabino.

Ahmad Zahid juga berkata Timor-Leste akan menghantar pelajar Ijazah Sarjana Muda yang ditaja oleh kerajaan ke UniKL untuk belajar dalam bidang Kejuruteraan Kimia (Teknologi Pemprosesan Makanan), Pelancongan dan Pentadbiran Perniagaan melalui kaedah pembelajaran jarak jauh.

Beliau berkata dalam lawatan itu, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antaranya melibatkan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS) dan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (FDCH) bagi meningkatkan jumlah pelajar negara itu mengikuti pendidikan tinggi di Malaysia.

FDCH, yang membiayai biasiswa untuk pendidikan dan pembangunan modal insan, turut bersetuju menaja 31 pelajar Timor-Leste mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan Pascasarjana di Malaysia bermula November ini.

Turut dimeterai MoU antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Nasional Timor-Leste (UNTL) yang bertujuan mempromosi serta memudahkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan latihan.

"Melalui MoU ini juga, UMS turut merancang memperkenal program asasi sains dan sains sosial ke Timor-Leste yang dikenali sebagai UMS@UNTL. UMS dan UNTL turut memanfaatkan MoU ini bagi meletakkan Timor-Leste sebagai hab pendidikan serantau," katanya. 

Sementara itu, menerusi video sidang media yang dikongsikan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Timor-Leste kerana telah menjadi anggota dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Ini adalah satu perkara yang bagi kami memudahkan Timor-Leste untuk memperluas soal bisnes serta perdagangan di seluruh dunia dan Malaysia sentiasa dekat di hati untuk membantu," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pihaknya akan mengundang ketua suku negara itu ke institusi kepimpinan di negara ini agar Malaysia dapat berkongsi pengalaman berhubung aspek pembangunan kawasan desa. 

Beliau berkata kedua-dua negara turut menyentuh mengenai pengecualian visa, pelancongan serta aksesibiliti kebolehsampaian pesawat udara dari Kuala Lumpur ke Dili iaitu ibu negara Timor-Leste dan sebaliknya yang akan diperinci oleh Kementerian Pengangkutan. 

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia, yang akan menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyokong penuh Timor Leste menjadi anggota ASEAN serta akan membantu negara itu memenuhi syarat sebagai negara blok itu.

Turut serta dalam Delegasi Malaysia ialah para pegawai kerajaan, wakil Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), UMS, UniKL dan PLANMalaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan