EKONOMI

Keuntungan Bersih TNB Meningkat Kepada RM1.44 Bilion Pada Suku Kedua

29/08/2024 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat kepada RM1.44 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 daripada RM327.9 juta pada suku sama tahun lepas.

Kenaikan ini kebanyakannya disebabkan oleh keuntungan operasi lebih tinggi, pertukaran asing yang menggalakkan dan kos kewangan bersih lebih rendah.

Hasil juga meningkat kepada RM14.37 bilion daripada RM13.32 bilion sebelumnya, hasil jualan elektrik lebih tinggi sebanyak 5.7 peratus atau RM745.8 juta.

TNB berkata keuntungan operasinya bagi suku semasa melonjak 19.9 peratus atau RM372.5 juta, kebanyakannya disebabkan margin bahan api negatif lebih rendah pada suku itu berbanding suku yang sama sebelum ini.

Pendapatan sesaham (EPS) asas pada suku kedua meningkat kepada 24.95 sen daripada 5.70 sen pada suku kedua 2023.

Dalam pada itu, TNB telah meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak 25 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berjumlah RM1.45 bilion.

Tarikh penutupan buku dan pembayaran akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2024, keuntungan bersih TNB melonjak kepada RM2.16 bilion daripada RM1.33 bilion dalam tempoh sama pada 2024 manakala hasil meningkat kepada RM28.01 bilion daripada RM25.95 bilion sebelumnya .

Jualan elektrik naik sebanyak 6.8 peratus, memacu pertumbuhan 7.9 dalam hasil TNB.

Pertumbuhan permintaan menokok sebanyak 8.4 peratus, kebanyakannya didorong oleh sektor komersial dan domestik.

"Kedudukan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) turun kepada RM5.17 bilion daripada RM6.49 bilion dalam tempoh semasa disebabkan margin bahan api negatif yang lebih rendah," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Keuntungan operasi meningkat 8.0 peratus kepada RM4.26 bilion daripada RM3.95 bilion dalam tempoh yang sama.

EPS asas pada separuh pertama 2024 menambah kepada 37.32 sen berbanding 23.11 sen pada separuh pertama 2023.

Mengenai prospek, TNB berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4-5 peratus daripada permintaan domestik yang kukuh, justeru kumpulan itu menjangka prestasi yang stabil untuk 2024 dan akan kekal berhati-hati terhadap turun naik pasaran serta mengambil langkah berhemat bagi memastikan ia kekal berdaya tahan.

"Kumpulan itu komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan menambah baik pertumbuhan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan