BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 EKONOMI

HLB Sasar Pertumbuhan NIM Antara 1.85 Hingga 1.95 Peratus Pada Tahun Kewangan 2025

29/08/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Hong Leong Bank Bhd (HLB) kekal berhati-hati terhadap pendirian dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan menyasarkan antara 1.85 dan 1.95 peratus pertumbuhan margin faedah bersih (NIM) pada tahun kewangan 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kevin Lam berkata bank itu akan menguruskan NIM dengan teliti pada tahun kewangan baharu dan komited untuk terus memacu prestasi dan mempercepatkan pelaburan untuk memberikan pulangan mampan kepada para pemegang saham.

“NIM telah melonjak kepada 1.89 peratus bagi suku kelima berturut-turut pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dengan peningkatan dua mata asas berbanding 1.87 peratus pada suku sebelumnya,” katanya semasa taklimat media mengenai keputusan kewangan HLB bagi tahun kewangan 2024, hari ini.

Beliau juga berkata bank itu berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat ditetapkan untuk pelan strategik tiga hingga lima tahun termasuk mengekalkan kualiti aset yang stabil dan tumpuan kepada nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) industri.

"Mengenai tindanan pengurusan, HLB mempunyai RM574 juta dari segi peruntukan tindanan pengurusan yang masih kukuh dan kami akan melihat kepada pembentukan semula kepada model lebih khusus bagi tahun kewangan baharu ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata prospek pertumbuhan Malaysia dijangka kekal menggalakkan pada separuh kedua tahun ini dan doiunjur dalam julat lebih tinggi daripada unjuran pertumbuhan rasmi iaitu empat hingga lima peratus untuk 2024.

“Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan apabila pasaran buruh terus bertambah baik manakala pemulihan dalam permintaan global memberikan dorongan tambahan.

“Risiko meningkat daripada potensi limpahan daripada peningkatan teknologi global dan pelaksanaan projek yang lebih pantas dijangka akan mengurangkan risiko penurunan daripada ketidaktentuan geopolitik dan risiko kelembapan yang berlarutan di China,” katanya.

Justeru, beliau berkata HLB menjangkakan ringgit berlegar sekitar 4.40 berbanding dolar US menjelang akhir tahun ini.

Untuk memacu pertumbuhan perniagaan teras dan membina francais ASEAN yang kukuh dalam persekitaran perniagaan dinamik, Lam berkata HLB akan menumpukan kepada pelaksanaan keutamaan strategik utama bagi menyampaikan hasil yang mampan.

“Dalam perjalanan ke arah neutraliti karbon, HLB terus komited untuk melaksanakan strategi dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus, pada masa sama bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memberi impak positif kepada pelanggan kami dan masyarakat,” katanya.

Keuntungan bersih HLB kepada RM4.20 bilion untuk tahun kewangan 2024 berbanding RM3.82 bilion pada tahun kewangan 2023, disokong oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan yang kukuh, metrik kualiti aset lebih baik dan sumbangan daripada syarikat bersekutunya.

HLB mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 43 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen kepada 68 sen sesaham untuk tahun kewangan 2024, meningkat sembilan sen berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan