EKONOMI

Untung Bersih Suku Kedua Genting Malaysia Naik Kepada RM82.24 Juta

29/08/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Genting Malaysia Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM82.24 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM47.12 juta pada suku kedua 2023.

Hasil juga meningkat 8.0 peratus kepada RM2.67 bilion berbanding RM2.47 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peningkatan dalam prestasi itu dipengaruhi oleh hasil yang lebih tinggi daripada perniagaan riadah dan hospitalitinya di Malaysia, United Kingdom (UK), Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Perniagaan riadah dan hospitalitinya di Malaysia menyaksikan peningkatan hasil sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM81.9 juta, didorong oleh volum perniagaan yang lebih tinggi daripada segmen permainan dan bukan permainan Resorts World Genting.

“Hasil perniagaan riadah dan hospitaliti di UK dan Mesir meningkat 20 peratus tahun ke tahun atau RM78.6 juta kepada RM468.8 juta daripada RM390.2 juta pada suku kedua 2023 disebabkan volum perniagaan yang lebih tinggi.

“Hasil daripada segmen itu di AS dan Bahamas meningkat 11 peratus atau RM52.3 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada Resorts World New York City (RWNYC) dan Resorts World Bimini susulan prestasi operasinya yang lebih baik,” katanya.

Mengenai prospek, kumpulan itu mengambil pendekatan berhati-hati tetapi optimis tentang prospek jangka pendek dan jangka panjang dalam industri riadah dan hospitaliti.

“Di Malaysia, Genting kekal dalam menumpukan kepada tawaran resort bersepadunya bagi memanfaatkan pemulihan yang berterusan dalam pengembaraan serantau.

“Pelaburan kumpulan dalam produk-produk baharu yang segar dan pengalaman gaya hidup adalah sebahagian daripada strategi berterusan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama dan memacu pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu akan terus menumpukan kepada peningkatan daya tahan dalam  perniagaan dengan menyusun semula operasi untuk lebih cekap dan produktiviti yang lebih tinggi, sambil mengembangkan bahagian pasaran keseluruhannya di UK.

Sementara itu bagi pasaran AS, kumpulan tersebut akan terus meningkatkan inisiatif pemasarannya untuk memacu kunjungan dan mengembangkan pangkalan data pelanggan, sambil memanfaatkan sinergi antara RWNYC dan aset-aset Empire Resorts Inc untuk meningkatkan pulangan secara keseluruhan.

Genting Malaysia juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 6.0 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, yang perlu dibayar pada 7 Okt, 2024. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan