EKONOMI

Keuntungan Bersih Petron Malaysia Susut Kepada RM13.25 Juta

29/08/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron Malaysia) susut kepada RM13.25 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM40.01 juta yang disaksikan semasa suku yang sama tahun lepas.

Petron Malaysia melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata pendapatan meningkat kepada RM4.29 bilion daripada RM4.05 bilion.

“Jumlah jualan domestik pada suku kedua menokok lima peratus kepada 6.0 juta tong berbanding 5.7 juta yang dijual dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

“Ini disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor runcit dan penerbangan,” katanya.

Petron Malaysia berkata jurang dalam penapisan serantau kekal terhad disebabkan pertumbuhan permintaan yang agak perlahan manakala premium mentah menjadi lebih mahal berikutan gangguan dalam bekalan minyak mentah tempatan.

“Strategi lindung nilai yang proaktif termasuk usaha perbelanjaan berhemat membolehkan syarikat mencatatkan keuntungan kasar berjumlah RM73 juta pada suku kedua walaupun ia lebih rendah daripada RM115 juta yang direkodkan pada tahun lepas,” katanya.

Untuk enam bulan terkumpul, keuntungan bersih menurun kepada RM82.95 juta berbanding RM148.74 juta sebelumnya, walaupun hasil meningkat kepada RM8.94 bilion daripada RM7.87 bilion.

Pengerusi Ramon S Ang dalam satu kenyataan berasingan berkata asas perniagaan Petron Malaysia kekal kukuh dan positif walaupun menghadapi cabaran pasaran akibat daripada geopolitik serta keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kami terus meningkatkan jumlah kami melalui operasi pembekalan serta pengedaran kami yang cekap selain pengembangan runcit secara strategik dan kempen pemasaran yang berkaitan.

“Kaedah kami mengurus sumber dan mengurangkan risiko juga terbukti berkesan,” katanya.

Sementara itu, Petron Malaysia menambah ia kini termasuk dalam 120 syarikat tersenarai awam teratas yang terdiri daripada Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) daripada lebih 800 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia pada Jun 2024.

Indeks F4GBM mengukur prestasi syarikat tersenarai awam yang menunjukkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang terbaik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan