AM

Pelarasan Gaji Penjawat Awam Kelantan Ikut Pengumuman Kerajaan Persekutuan

29/08/2024 11:39 PM

BACHOK, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Kelantan akan melaksanakan pelarasan kenaikan gaji penjawat awam negeri pada Disember depan selaras dengan pengumuman dan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa selaras mengikut kemampuan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan mengikut ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan  Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lepas mengenai pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri kesal dengan penyebaran video yang memaparkan perbuatan (tarian) tidak senonoh dan berunsurkan lucah melibatkan acara dikir barat di sini.

"Saya menasihatkan orang ramai tidak terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dan mahu penggiat seni menjaga warisan dikir barat yang sinonim dengan rakyat negeri ini," katanya.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata pihaknya akan menaikkan deposit sehingga RM20,000 bagi penganjuran melibatkan artis ternama bagi mengekang terlalu banyak acara hiburan di negeri ini.

"Sebelum ini, kita hanya kenakan sekitar RM1,000 ke RM2,000 sahaja untuk deposit tetapi kadar itu sudah tidak sesuai, jadi kita mahu naikkan RM5,000 hingga RM20,000 bagi mengawal dan mahu penganjur lebih bertanggungjawab serta mematuhi syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memberi kuasa pegawai perlesenan kepada pihak berkuasa tempatan bagi mengawal selia aktiviti hiburan di negeri ini berkuat kuasa mulai awal bulan ini. 

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video berdurasi 29 saat bertajuk 'Bachok, USA' memaparkan beberapa orang tempatan menari ala dangdut semasa persembahan dikir barat sedang berlangsung dalam satu majlis di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan