EKONOMI

Indeks Pelopor Naik 3.5 Peratus Pada Jun 2024, Capai 113.4 Mata - Perangkaan

23/08/2024 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Indeks Pelopor (IP) meneruskan pertumbuhan positifnya dengan mencatatkan 3.5 peratus, mencapai 113.4 mata pada Jun 2024, berbanding 109.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IP ialah alat yang digunakan untuk mengunjurkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Indeks Perusahaan Bursa Malaysia mempamerkan prestasi kukuh dengan 42.2 peratus, meletakkannya sebagai penyumbang utama kepada peningkatan ini.

"Bagaimanapun, prestasi bulanan IP menurun marginal kepada 0.7 peratus disebabkan oleh penurunan dalam lima daripada tujuh komponen kecuali Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.4 peratus) dan Penawaran Wang Benar, M1 (0.2 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat kepada arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun 2024, DOSM berkata  IP kekal berada di atas trend 100.0 mata, menggambarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan dan berdaya tahan.

Ia berkata  memandangkan Malaysia adalah ekonomi berpacukan pengguna, pelaksanaan inisiatif pelarasan gaji dijangka akan merangsang perbelanjaan domestik.

Berhubung prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan 2.6 peratus, mencapai 126.4 mata pada Jun 2024, kata DOSM.

"Nilai Caruman Benar, KWSP (8.5 peratus) merupakan pemacu utama kepada kenaikan ini, diikuti oleh peningkatan 6.4 peratus dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit.

"Selari dengan itu, prestasi bulanan IS menunjukkan corak yang sama, meningkat 0.2 peratus disumbangkan oleh kesemua komponen kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (-0.3 peratus)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan