AM

FAMA Jalankan Penguatkuasaan Pematuhan Peraturan GPL

30/08/2024 08:57 AM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalankan operasi penguatkuasaan pematuhan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) pada Selasa dan Rabu lepas bagi memantau pematuhan syarikat pertanian terhadap peraturan itu. 

Pengarah Kanan Bahagian Regulatori FAMA Asmizal Jaafar berkata operasi pada Selasa melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi iaitu Kompleks Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) Chui Chak, PPL Hap Kee, Chui Chak dan PPL Kuala Bikam di Daerah Hilir Perak, Perak. 

“Dalam operasi ini, masih terdapat PPL yang gagal mematuhi kehendak telah ditetapkan di dalam Peraturan GPL antaranya tidak mempunyai pelabelan lengkap dan pembungkusan tidak sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asmizal berkata operasi pada Rabu pula melibatkan sekatan jalan raya di Simpang Pulai dan Tapah, Perak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau pematuhan Peraturan GPL terhadap keluaran pertanian dari Cameron Highlands untuk dipasarkan ke seluruh Malaysia terutamanya ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata kesalahan Peraturan GPL yang dikesan dalam sekatan itu melibatkan pelabelan keluaran pertanian selain terdapat keluaran pertanian tidak dibungkus dengan selamat dan percampuran gred dalam pembungkusan.

Menurut Asmizal, 39 kenderaan telah diperiksa dan 34 Notis Kesalahan dikeluarkan kepada syarikat yang tidak mematuhi Peraturan GPL.

Beliau berkata walaupun jumlah kes yang dilaporkan tidak banyak, tetapi FAMA memandang serius perkara berkenaan dan operasi GPL akan dipergiatkan supaya kes sama tidak berulang.

“Pelaksanaan operasi Peraturan GPL juga akan dapat menghindari peniaga daripada mengambil kesempatan dengan menjual produk pertanian gred bawah pada harga yang tinggi.

“Oleh yang demikian, FAMA mahu memberikan penekanan berkaitan Peraturan GPL bermula daripada peringkat awal produk pertanian dihasilkan supaya pengguna mendapat produk berkualiti mengikut harga berpatutan,” katanya.

Menurut kenyataan FAMA, amalan pembungkusan yang baik perlu dipraktikkan dalam semua peringkat urusan pemasaran hasil pertanian di pasaran tempatan, import dan eksport bagi memastikan kualiti keluaran pertanian dipelihara dengan mengelakkan kerosakan lepas tuai akibat pembungkusan yang tidak atau kurang sesuai. 

Amalan penggredan pula akan menanamkan keyakinan pengguna terhadap kualiti keluaran pertanian seterusnya akan meningkatkan permintaan di samping memberikan pulangan yang lebih baik kepada pengeluar.

Melalui amalan pelabelan, pengeluar akan mendapat lebih kepercayaan daripada pengguna terhadap produknya kerana setiap produk diketahui sumbernya dan boleh dijejaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan