AM

Padang Kota Lama, Fort Cornwallis Saksi 1001 Sejarah Kemerdekaan Negara

30/08/2024 09:52 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 30 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang bukan sahaja terkenal sebagai lokasi pelancongan malah kaya dengan tempat bersejarah dan signifikan dalam kisah kemerdekaan negara.

Selain terkenal dengan keindahan pantainya, warisan budaya dan makanan yang pelbagai, Pulau Mutiara juga memiliki lokasi yang menyimpan seribu satu cerita penting dalam perjalanan Tanah Melayu (ketika itu) menuju kemerdekaan, antaranya Padang Kota Lama.

Berlatarkan bangunan kolonial, Padang Kota Lama terus dikenang sebagai lokasi bersejarah yang menyaksikan detik-detik penting dalam peristiwa kemerdekaan negara termasuk upacara menurunkan bendera British serta menjadi saksi pengisytiharan kemerdekaan negara.

Malah, di padang yang turut dikenali sebagai The Esplanade itu juga terletaknya Fort Cornwallis yang dibina oleh British pada abad ke-18 dan merupakan antara kubu pertahanan dibina oleh penjajah di negara ini.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkongsi pengalamannya melalui peristiwa sejarah yang berlaku di Padang Kota Lama pada tanggal 30 Ogos 1957 iaitu ketika bendera Union Jack diturunkan bagi menandakan berakhirnya era kolonial.

Mohd Yussof, 94, berkata ketika itu beliau merupakan Setiausaha Pemuda UMNO Pulau Pinang yang juga jawatankuasa penganjur bagi sambutan Hari Kemerdekaan di negeri itu.

"Pada 30 Ogos 1957 itu, terlebih dahulu kami berarak menggunakan sebuah kereta dan mengibarkan bendera Persekutuan serta bendera UMNO mengelilingi Pulau Pinang sebelum berkumpul di Padang Kota Lama bagi bersama-sama meraikan detik bersejarah negara.

"Istiadat turunkan bendera British itu penuh bersejarah sebagai tanda berakhirnya penjajahan di bumi Pulau Pinang dan bendera itu diserahkan kepada wakil residen terakhir British iaitu RP Bringham, seterusnya menerusi Fort Cornwallis mereka keluar dari situ menaiki kapal dan kembali ke negara asal," katanya.

Mohd Yussof berkata Fort Cornwallis merupakan laluan masuk British ke George Town yang ketika itu dikenali sebagai Tanjung Penaga dan di situ juga merupakan lokasi penjajah keluar dari negeri ini, seterusnya meninggalkan tanah air ini sebagai sebuah negara yang merdeka.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) berkata pada 1 Sept 1957, satu upacara penuh bersejarah turut diadakan di Padang Kota Lama apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama Wong Pow Nee membacakan pengisytiharan kemerdekaan.

Perhimpunan yang diadakan ketika itu katanya menjadi satu acara yang cukup menyeronokkan dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum dan Wong turut menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau berkata Padang Kota Lama juga menjadi lokasi pilihan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj untuk membuat pengumuman mengenai pengampunan beramai-ramai anggota komunis pada 5 Dis 1955.

“Padang Kota Lama juga merupakan padang yang dahulunya menjadi lokasi berbagai-bagai acara sambutan dan kempen, malah turut menjadi lokasi pertama penganjuran Pesta Pulau Pinang pada 1970 dan pernah menjadi tempat bagi orang British bermain kriket semasa era pemerintahan British," katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali berkata pihaknya berharap sejarah Padang Kota Lama tidak lenyap begitu sahaja dan generasi muda perlu tahu mengenai sejarah padang itu sebagai lokasi penting dalam usaha mencapai kemerdekaan negara.

"Pulau Pinang ialah jajahan British yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu apabila pihak penjajah mendirikan kota di Padang Kota Lama dan mereka masuk melalui lautan di Fort Cornwallis. Kita semua sebagai rakyat Malaysia mestilah bersama-sama mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi," katanya.

Fort Cornwallis merupakan kota lama berbentuk bintang empat bucu yang dibina pada 1786 oleh komander tentera British, Charles Cornwallis, yang berperanan sebagai pusat pertahanan dan perdagangan British di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan