AM

Nama Laksamana Cheng Ho Akan Diabadikan Di Sebuah SJKC - Ab Rauf

30/08/2024 06:33 PM

ALOR GAJAH, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri bercadang menamakan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kepada Sekolah Laksamana Cheng Ho sebagai menghargai nilai sejarah dan persahabatan yang terjalin antara Melaka dengan China sejak 600 tahun. 

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata idea itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat dan persetujuan mengenai cadangan berkenaan akan mengimbau kembali hubungan akrab antara China dengan Melaka yang disemai sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. 

"Kita melihat (idea ini) dari sudut pensejarahan yang begitu lama di Melaka berkaitan hubungan negeri ini dengan China sejak 600 tahun lepas malah pembelajaran sejarah di negara itu merujuk pelayaran Cheng Ho ke Melaka sebagai satu nilai sejarah yang begitu tinggi. 

"Jadi, saya menyarankan satu sekolah di negeri ini dinamakan Sekolah Laksamana Cheng Ho bagi menunjukkan satu nilai sejarah berkaitan hubungan antara kaum di negara ini yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Bijak Sejarah A STPM dan pelajar Huffaz bagi Sesi Akademi 2023 dan Pelancaran Bijak SPM 2024 di Dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa cakna akan sekolah-sekolah yang berdepan kekangan dari aspek peruntukan dalam melaksanakan pelbagai program dan untuk itu, sebanyak RM639,800 disalurkan kepada 99 sekolah menengah di seluruh negeri bagi pelaksanaan Program Bijak SPM untuk tahun ini. 

Ab Rauf berkata sebanyak RM147,000 akan disalurkan di 26 sekolah di daerah Alor Gajah yang melibatkan 2,954 pelajar manakala RM376,200 bagi 52 sekolah di Melaka Tengah dengan 7,524 pelajar dan RM115,900 disalurkan ke 21 sekolah di Jasin yang melibatkan 2,318 pelajar. 

"Saya berharap program seumpama ini dapat memberi peluang kepada 12,796 calon SPM bagi sesi 2024 untuk mengikuti bengkel dan teknik menjawab dengan lebih sistematik, sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sehingga dapat kembali menyumbang kepada negeri Melaka ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan