JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Kes Penyelewengan Diesel Dibebas Dengan Jaminan SPRM

30/08/2024 09:14 PM

SIBU, 30 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan reman Isnin lepas kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai penguat kuasa dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Majistret Oon Kork Chern membenarkan suspek dibebaskan setelah tempoh tahanan reman selama empat hari ke atasnya berakhir hari ini.

Suspek dan adik perempuannya yang berusia 39 tahun ditahan reman Isnin lepas bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun, adiknya dibebaskan pada Selasa lepas dengan jaminan SPRM.

Mereka ditahan di sebuah depoh simpanan diesel di Sungai Bidut di sini semasa operasi Op Liter yang dijalankan oleh SPRM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup.

Turut ditahan seorang pembantu penguat kuasa serta seorang pengarah sebuah agensi penguat kuasa dan mereka juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan